SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Rabu, 8 Jun 2011

Kurangkan Ketawa dan banyakkan Menangis

Berkata seorang ahli zuhud :
"Orang yang melakukan dosa dalam keadaan tertawa akan dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan menangis dan orang yang melakukan ketaatan dalam keadaan menangis akan dimasukkan oleh Allah ke syurga dalam keadaan tertawa."
Ketawa dan menangis adalah aktiviti fizikal khusus manusia. Bagi manusia, keduanya bersifat asasi di mana kemunculannya seiring dengan fitrah kemanusiaan yang asal.
Dalam kehidupan seharian, keduanya menjadi ''bahasa'' komunikasi seseorang yang mampu mengungkapkan rasa cinta dan kegembiraan atau rasa kecewa dan kesedihan yang memenuhi suasana batinnya.

Intimnya hubungan ketawa dan menangis dengan sisi kemanusiaan dinyatakan oleh Allah swt dalam Al Quran :
''Dan bahwasannya Dialah yang menjadikan orang ketawa dan menangis''. (QS An Najm : 43)
Manusia yang tidak dapat ketawa dan menangis biasanya diklasifikasikan sebagai makhluk yang berhati batu.

Sebagai aktiviti fizikal, ketawa atau pun menangis adalah 
"akibat",bukan "sebab".
Pada umumnya ada rangsangan atau pencetus tertentu, seperti peristiwa sosial berupa kesenangan, kegembiraan, kebaikan, keburukan, kemalangan atau kelucuan yang membuatkan situasi batin seseorang menjadi gembira atau sedih. Oleh sebab itu, kebiasaannya, ketawa atau menangis merupakan cerminan asal situasi batin.

Ketika situasi batin seseorang sedang diliputi suasana kegembiraan, ia lantas boleh ketawa. Sebaliknya ketika situasi batinnya diliputi kesedihan, ia lantas menangis.
Walaubagaimanapaun dalam menghadapi rangsangan atau pencetus tersebut, bahkan dengan penyebab yang sama, kepekaan seseorang boleh menjadi berbeza.

Ada yang begitu peka sehingga ia mudah ketawa atau menangis. Tetapi, ada pula yang tidak, sehingga ia tidak mudah ketawa atau menangis.
Bahkan orang-orang tertentu boleh "ketawa" dalam situasi batin yang penuh kesedihan dan "menangis" dalam situasi batin yang penuh keriangan. Contohnya seperti orang yang terkena suatu penyakit di mana wujud ketidakselarasan antara yang dirasakan dengan yang diungkapkan.

Oleh kerana ketawa dan menangis begitu kuat melekat dengan karakteristik kemanusiaan, maka banyak manfaat yang lahir dari keduanya yang memberi kesan kepada kesihatan ruhani dan jasmani.
Ketawa mampu memperkukuhkan kesihatan dan menangis mampu menjadi pintu untuk menambahkan beban yang berat yang menyesakkan dada.

Dalam hadis Rasulullah Nabi saw, banyak riwayat yang menceritakan bahwa Nabi Muhammad saw ketawa ketika menemui sesuatu yang menyenangkannya dan bahkan sering bersenda gurau meskipun tidak sampai melewati batas yang hak.
Nabi Sulaiman juga dikisahkan dalam Al-Qur’an ketawa ketika beliau mendengar teriakan seekor semut yang memberi arahan kepada kawan-kawannya untuk masuk ke sarang agar tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman dan bala tenteranya.
"Maka Dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu." (QS An-Naml :19)
Dalam Islam, baik ketawa atau pun menangis mesti seimbang, pada tempatnya dan tetap berada dalam batas-batas kesopanan dan kebenaran. Dalam kata lain, tidak boleh melampaui batas-batas kewajaran yang dibenarkan oleh agama.
Dalam hal ketawa misalnya, tidak boleh mentertawakan kemalangan yang menimpa orang lain. Begitu juga dalam hal menangis, oleh kerana ditinggalkan oleh orang yang dicintainya, tidak boleh sampai ke tahap meratap apalagi sampai meraung-raung.

Sesungguhnya hidup ini sebuah pilihan. Pilihan untuk taat kepada kehendak-kehendak Allah swt yang terkandung dalam wahyuNya walau apapun risiko yang akan dihadapinya.
Begitu juga dalam melakukan dosa dan pembangkangan terhadapNya, ada pilihan samada untuk dunianya atau untuk akhiratnya. Sedangkan pilihan seseorang mencerminkan tahap kualiti kecerdasan akal dan ruhaninya.

Contoh lain ialah dalam menjatuhkan pilihan antara kepentingan dunianya dan kepentingan akhiratnya. Dalam menghadapi pilihan itu, ramai manusia yang bersikap terbalik iaitu tidak ada keselarasan antara hakikat dunia dan hakikat akhirat.

Kalau kita amati dengan saksama, ramai orang yang begitu cenderung untuk mengejar dunia dan segala keseronokannya sedangkan hakikat dunia yang sedang dikejarnya itu dengan sangat pasti sedang bergerak meninggalkan diri mereka.

Ramai pula orang yang membelakangkan akhiratnya, padahal setiap diri pada hakikatnya, mereka sedang menuju dan menemuinya.

Rasulullah saw bersabda :
"Manusia yang paling cerdas ialah yang paling banyak mengingati kematian dan yang paling banyak persiapannya untuk menghadapi kematian. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdas, dan mereka akan pergi ke akhirat dengan membawa kemuliaan dunia dan kemuliaan akhirat.” (HR Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Dari Ibnu Umar ra, suatu hari Nabi saw keluar dari masjid berjumpa dengan suatu kaum yang berborak-borak dan tertawa riang. Nabi saw berhenti lalu memberi salam kepada mereka dan bersabda:

"Banyaklah mengingati pemutus kelazatan."

Di kesempatan yang lain, baginda juga keluar bertemu dengan suatu kaum yang tertawa riang lalu Baginda bersabda :
"Ingatlah, demi Zat yang aku dalam kekuasaanNya, kalau engkau tahu apa yang aku tahu, tentu kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis."

Ketika Nabi Khidir hendak berpisah dengan Nabi Musa as, Nabi Musa as berkata :
"Wasiatkanlah aku!"
Nabi Khidir berkata :
"Wahai Musa, takutlah engkau akan dalamnya laut, jangan berjalan tanpa keperluan, jangan ketawa tanpa sebab yang menghairankan dan jangan pula engkau salahkan orang-orang yang salah sebab kesalahan mereka dan menangislah atas kesalahanmu sendiri."
Rasulullah saw bersabda :
"Siapa tertawa semasa mudanya, dia akan menangis semasa tuanya. Siapa tertawa semasa kayanya, dia akan menangis semasa fakirnya. Dan siapa tertawa semasa hidupnya, dia akan menangis semata matinya."
Baginda saw juga bersabda :

"Banyak tertawa dapat mematikan hati."

Baginda saw bersabda lagi :

"Bacalah Al-Qur'an dan menangislah. Jika tidak boleh menangis, maka buat-buatlah menangis."
Firma Alah swt :
"Hendaklah mereka tertawa sedikit dan hendaklah banyak menangis sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan." (QS At Taubah : 82)

Al Hasan mengatakan :
"Wahai alangkah menghairankan orang yang tertawa sedangkan di belakangnya api Neraka; dan pula orang yang bersuka-suka sedang di belakangnya maut."
Pernah suatu hari dia bertemu dengan seorang pemuda yang ketawa riang. Dia berkata kepadanya :
"Wahai anakku, apakah engkau selamat meniti Siratul Mustaqim?"
Pemuda itu menjawab, "Tidak."
Dia bertanya lagi, "Apakah telah jelas bahawa engkau bakal masuk Syurga?"
Pemuda itu berkata, "Tidak juga."
Tanyanya lagi, "Lalu mengapa engkau tertawa?"
Maka setelah itu, pemuda itu tidak pernah tertawa.

Firman Allah swt :

"
Mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis..."(QS Al Israa' : 109)

Rasulullah saw bersabda :

"
Pada hari Kiamat, setiap mata menangis kecuali tiga mata ;
  1. Mata yang menangis kerana takut kepada Allah.
  2. Mata yang terpejam dari larangan-larangan Allah.
  3. Mata yang berjaga di jalan Allah."
Ada tiga perkara yang boleh mematikan hati :
  1. Tertawa tanpa sebab.
  2. Makan tanpa lapar.
  3. Berkata tanpa ada keperluan.
Ketika seseorang telah menjatuhkan pilihannya dan kemudian mengubahnya dalam bentuk perbuatan, maka pilihan dan perbuatannya itu lama kelamaan akan menjadi kebiasaan. Selanjutnya kebiasaan itu secara terus-menerus berjalan di dalam dirinya hingga membentuk keperibadiannya yang khusus.

Keperibadian seseorang itu sangat dipengaruhi oleh nilai yang diserapnya melalui penghayatan yang kemudian membentuk visi peribadinya yang kemudian menyerap ke wilayah kalbunya.
Visi yang menyerap itu kemudiannya membentuk suasana kejiwaannya yang khusus pula yang secara keseluruhannya wujud dalam bentuk mental yang dinamakan sikap.
Sikap tersebut terus berjalan dalam diri seseorang seiring dengan realiti sebenar yang dihadapinya dan seterusnya mengalir ke wilayah fizikal sehingga melahirkan tindakan atau perbuatan. Ketika sikap dan tindakannya menjadi dominan, maka secara akumulatifnya mempengaruhi kehidupannya hingga membentuk citra dirinya yang khusus.

Atas dasar itulah, seseorang boleh jadi akan ketawa terbahak-bahak ketika ia melakukan dosa disebabkan oleh citra dirinya sebagai pelaku dosa telah membuatnya merasa senang bahkan bangga berlumuran dengan dosa. Dia akan kehilangan kepekaan emosinya terhadap nilai-nilai kebaikan.

Pada umumnya orang yang merasa senang dan bangga dengan kemaksiatan yang dilakukannya akan mengalami kesukaran untuk membebaskan diri dari perbuatan dosa.

Ketika seseorang atau sebuah masyarakat sudah sampai ke tahap berbangga dengan kemaksiatan yang dilakukannya, maka azab Allah pasti akan menerjahnya dengan amat dahsyat yang akan mengakibatkan dirinya dilanda penyesalan untuk selama-lamanya.
"Pada hari ketika muka mereka dibolak-balik di dalam neraka, mereka berkata, `Alangkah baiknya, andai kami taat kepada Allah dan taat kepada Rasul.' Dan mereka berkata, `Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu meraka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, timpakan kepada mereka azab dua kali ganda dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar." (QS Al-Ahzab: 66-68)
Sebaliknya, orang yang pilihannya jatuh kepada ketaatan terhadap kehendak-kehendak Allah dan ketaatan itu telah membentuk keperibadiannya yang khusus, maka ia akan menjadi orang yang soleh, peribadi yang konsisten dalam menjalankan segala peraturan agama Allah.
Apa pun risiko yang diterimanya ia akan tetap berada dalam ketaatan. Meskipun risiko yang ditanggung akibat ketaatannya itu menyebabkan dirinya perlu berderai air mata kerana kesedihan yang dideritainya, namun, ia tetap berterusan dalam ketaatan kepada Allah swt.

Keteguhannya itu diperkukuhkan dengan keyakinan akan pembalasan Allah yang sangat baik di akhirat kelak sebagaimana firman Allah swt berikut :
"Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera, di dalamnya mereka duduk bertelakan di atas dipan, mereka tidak merasakan di dalamnya (teriknya) matahari dan tidak pula dingin yang bersangatan. Dan naungan (pohon-pohon syurga itu) dekat di atas mereka dan buahnya dimudahkan memetiknya semudah-mudahnya. Dan diedarkan kepada mereka bejana-bejana dari perak dan piala-piala yang bening laksana kaca, (iaitu) kaca-kaca (yang terbuat) dari perak yang telah diukur mereka dengan sebaik-baiknya. Di dalam syurga itu mereka diberi minum segelas (minuman) yang campurannya adalah jahe. (yang didatangkan dari) sebuah mata air syurga yang dinamakan salsabil. Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda. Apabila kamu melihat mereka, kamu akan mengira mereka mutiara yang bertaburan. Dan apabila kamu melihat di sana (syurga), niscaya kamu akan melihat berbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar. Mereka memakai pakaian sutera halus yang hijau dan sutera tebal dan dipakaikan kepada mereka gelang terbuat dari perak, dan Tuhan memberikan kepada mereka minuman yang bersih. Sesungguhnya ini adalah balasan untukmu, dan usahamu adalah disyukuri (diberi balasan)." (QS Al Insan 11 – 22)
Ya Allah, Engkau lembutkanlah hati-hati kami supaya kami mampu menangis apabila terkenang dosa-dosa dan pelanggaran yang telah kami lakukan saban hari dan hindarilah kami dari sifat ketawa dan bermudah-mudah apabila melanggar segala ketentuan dan aturan agamaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
Hasil tulisan : Wan Ahmad Sanadi, Shah Alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan