Lama juga saya terperuk dalam kemelut rasa yang berbelah-bagi itu sehinggalah pada suatu ketika tiba-tiba saya diterjah oleh satu peringatan yang datang dari dalam diri sendiri. Lalu saya tuliskan dalam diari harian dengan kata:
"Bila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita diperkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia!"
Dengan kesimpulan itu saya teruskan menulis. Biarlah. Semoga saya juga terdidik dengan tulisan-tulisan sendiri. Saya sering merasakan kekadang seorang pendakwah menjadi 'jambatan' kepada orang lain untuk mendapat hidayah. Jadi apa salahnya 'jambatan' itu dilalui oleh dirinya sendiri.
Kekadang saya sendiri rasa pelik bila saya membaca kembali tulisan-tulisan dan buku-buku saya sendiri. Bukan untuk rujukan buat menulis atau mencari idea baru.... tetapi saya tatap pada waktu tersunyi dalam hidup untuk bermuhasabah dan 'menghukum' kealpaan diri. Ah, kiranya semua yang pernah saya tulis mampu saya amalkan, alangkah indahnya. Cuma saya terus berharap dan berdoa... kita tidak akan mengalah walaupun sering kalah.
Saya juga seperti saudara/i, ada kalanya kelelahan dengan ujian hidup yang bertali arus. Lepas satu, satu. Life is to solve problems, begitu kata bijak pandai. Namun Allah telah lama mengingatkan kita melalui Al Quran bahawa mati dan hidup dijadikan untuk menguji kita siapakah yang terbaik amalannya? Kembali surah Al Mulk mengingatkan kita.
Marilah kita berjanji pada diri, bahawa kita tidak akan menjadi 'munafik' sama ada dari segi lisan dan perbuatan. Kita tidak akan berpura-pura dalam mengharapkan yang baik dan makruf. Biarlah kita menuai iktibar, dari denai mujahadah ini. Saya ingin menjadi insan yang seadanya sahaja dalam menghulur tangan setulus mungkin buat bersama menyusuri jalan Ilahi ini. Mungkin tangan ini yang akan membimbing saudara/i, dan mungkin tangan saudara/i juga yang akan membimbing saya.
Di takah usia 50, saya berdoa untuk diberikan keteguhan hati. Come what may! Datanglah apa sahaja. Kan kita hadapi sebagai hamba-Nya. Jika kita benar dan berjaya... syukur. Jika kita tersalah, kita akur... kita ukir taubat dengan segera. Dosa kita menggunung tinggi, namun rahmat Allah melaut luasnya. Dengan berbekal takut (akan murkaNya) dan harap (ampunan-Nya), kita terus melangkah... patah sayap terbang jua. Jatuh tersungkur, bangkit semula walau terpaksa bertongkat dagu!
Semasa ditahan belasan tahun yang lalu, selain Tafsir Al Azhar oleh Hamka, Syarah Kitab Al Hikam oleh Prof Muhibbudin Al Wali saya turut menekuni tulisan Dale Carnargie (waktu itu La Tahzan belum ada). Saya melihat ada 'kesamaan dalam perbezaan' antara yang ditulis olehnya dengan tulisan Usaz Dr. Aid Al Qarni – ya hikmah itulah milik Islam tidak kira dari Barat atau pun Timur.
Dari situlah saya hadapi hidup yang ketika itu 'tidak menentu' dengan satu ketentuan. Ketidak pastikan kekadang mengajar kita tentang kejituan. Ada kekuatan dan kebebasan yang saya alami ketika fizikal kita tertahan. Ada sumbu kekuatan rohani yang membara ketika kehendak bialogi dan fisiologi dipenuhi di tahap paling minima.
Sejuk angin bukit di tepi daerah terpecil di Kamunting, mahu pun sengatan bahang panas atap kem tahanan yang terpencil, kekadang menghadiahkan saat yang lebih indah berbanding 'dikurung' dalam hotel bertaraf lima bintang menghirup udara kebebasan dan kemewahan masa kini.
Lalu saya kembali berusaha mencari hati itu, kerana saya yakin hati yang remuk redam (tetapi tenang) kerana diuji Allah itu boleh kita temui di mana sahaja, tidak kira di penjara atau istana!
Semalam saya baca semula apa yang pernah saya tulis ini... marilah kita kongsi mungkin buat pertama kali, mungkin juga sudah berkali-kali. Mudah-mudahan yang kita imbau bukan kenangan, tetapi pengajaran yang terus hidup untuk menempuh kenyataan.
Saya masih ingat pada suatu saat genting, pernah saya berkata kepada diri, "ya Allah, kalau Kau izinkan aku sekadar dapat melihat mentari dan memijak rumput di bumi, aku akan bersyukur..."
Lalu ke mana perginya rasa hati itu ketika saya, anda dan kita semua sedang menikmati limpahan cahaya dan lautan nikmat kini? Saudaraku, marilah bersama ku menelusuri tulisan ini...
Maha suci Allah, yang misteri ketentuaan dan ditetapkan-Nya tidak dapat diduga dan diteka oleh sesiapa. Benarlah, "God always move in a mysterious way..."
Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita.Cuba kita lihat contoh popular di kalangan figure ternama dan popular. Yang berkuasa tiba-tiba boleh dipenjara. Yang dibenci bertukar menjadi yang tersayang. Dan adakalanya dulunya terbilang tetapi entah kenapa tiba-tiba terbuang. Hidup yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan. Hidup yang gemerlapan, jadi malap secara tiba-tiba!
Begitulah, hitam-putih nasib manusia, tidak dapat dijangkau dengan mata, fikiran dan rasa.Sebab itu orang tua-tua berpesan, jangan sekali-kali mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan. Hati-hati, semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin yang menggoyang. Hari esok mungkin tangan yang menjulang kita hari ini akan menghenyak kita. Kawan boleh lawan, dan begitulah sebaliknya.
Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang? Jawabnya, jangan panjang angan-angan... Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.
Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang dalam angan-angan. Yang di tangan itulah realiti, yang ada dalam angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup dalam dua alam yang samar - masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup sebenar ialah hari ini yang realiti.
Pengalaman hidup banyak mengajar kita bahawa adalah tidak wajar buat kita meneka-neka atau menjangka sesuatu yang tidak pasti pada masa depan. Samada yang kita jangkakan itu baik atau buruk. Jika kita mengangan-angankan yang baik, kita akan jadi 'over confident'. Jika kita hanya mengangan-angankan yang buruk, kita akan jadi pesimis. Kedua-duanya memusnahkan.
Ya, untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah: Pendekkan angan-angan. Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semalam.... Susun jadual hidup harian dan ikutilah dengan tenang.
Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat. Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat dihadamkan dengan mudah.
Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan. Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok.
Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan yang serba samar. Para sahabat nabi bukanlah pakar psikologi tetapi sikap mereka tepat seperti mana yang dikatakan oleh para psilogist moden:
"Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi melakukan apa yang jelas di tangan."
Sikap mereka dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W. Mereka adalah insan produktif yang bekerja hasil dorongan hati, fikiran dan fizikalnya oleh peringatan Rasulullah S.A.W, jika berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang....
Matlamat dan pendekatan hidup mereka 'simple' dan jelas. Mereka adalah insan praktikal dan realistik. Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan ketika itu juga. Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu. Justeru itu tempo (rentak) hidup mereka tidak pernah diganggu oleh istilah terlambat atau tercepat.
Pernah satu malam Rasulullah S.A.W rimas ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya kenapa? Baginda bersabda:
"Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan."
Itulah peribadi Rasulullah S.A.W, yang tidak berangan-angan panjang. Baginda pernah bersabda, bahawa bila matanya terbuka, baginda tidak yakin apakah sempat baginda menutup matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah baginda akan dapat melepaskannya semula.
Panjang angan-angan akan menyebabkan sikap bertangguh-tangguh untuk melakukan suatu kebaikan atau meninggalkan suatu kejahatan. Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir, tentang masa depannya. Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan. Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.
Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan 'masalah-masalah' masa depan yang hakikatnya belum berlaku. Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai sentiasa mengalir... dan begitu jugalah kehidupan akan terus berubah.
Sekali lagi saya tegaskan bahawa hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba mengawalnya. Jangan cuba mengambil 'tempat' Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah. Inilah hikmah mengapa Qada' dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan tentang masa hadapan.
Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya bahawa anaknya bakal menderhakainya? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, "masa lalu adalah kelmarin yang telah mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir... tetapi selamatkanlah hari ini yang masih hidup."
Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak. Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk mempermudah-mudahkan hidup. Cuma "take it easy...."
Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok, tetapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.
Tidak ada gunanya berangan-angan. Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu kecewa. Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan baik.
Sebaliknya, hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan. Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.
Seorang pakar psikologi – Robert Louis Stevenson berkata:
"Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari jatuh. Dan inilah sebenarnya makna kehidupan.
Ingatlah, jangan sampai menunggu untuk menjadi ahli falsafah bagi mengamalkan prinsip: Hidup dalam lingkungan hari ini. Kita lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan! Justeru, di sisi orang beriman, Allah sentiasa berada disisi. When God is your friend, who is your enemy?
Biodata Kolumnis
Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalahwww.genta-rasa.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan