SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Khamis, 4 Ogos 2011

INGAT!!! Anda orang kepercayaan Allah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”
(Surah Al-Ahzab; 72)

AMANAH

Dalam ayat di atas diterangkan kepada kita bahawa Allah telah memilih manusia untuk memegang amanah iaitu agamaNYA. Amanah atau kepercayaan itu diberikan kepada manusia kerana antara makhluk-makhluk Allah di alam ini, manusia diciptakan dengan sebaik-baik kejadian dengan dikurniakan akal dan hati.

Jadi, setiap daripada kita telah memegang amanah dan telah diberi kepercayaan oleh Allah untuk memikul tanggungjawab ini.

Jika hari ini, kita diberikan amanah atau dilantik menjadi orang kepercayaan kepada seorang yang ternama, contohnya menjadi orang kepercayaan kepada Perdana Menteri, atau pemimpin-pemimpin besar, kita akan merasa hebat dan megah dengan kepercayaan yang diberikan kepada kita. Lantas dengan kepercayaan yang diberikan itu, sanggupkah kita mengkhianati pemimpin tersebut? Malah kita akan melaksanakan tugasan dengan penuh bertanggungjawab kerana kita memegang amanah seorang yang besar di sisi manusia.

Tetapi sedarkah kita bahawa kita semua sebenarnya memikul amanah dan menjadi ‘orang kepercayaan’ Allah. Jika ditanya, adakah kita sanggup mengkhianati Allah? Pasti jawapannya tidak. Padahal hakikatnya kehidupan kita dipenuhi dengan pengkhianatan terhadap Allah. Tidak melaksanakan suruhan dan hukuman yang ditetapkan olehNYA adalah pengkhianatan terhadap Allah. Melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah adalah pengkhianat terhadap Allah. Pendek kata, kita lebih patuh kepada manusia berbanding Allah…
ALLAH ITU TUAN PUNYA ALAM

Allah ialah TUHAN; terjemahan dalam bahasa melayu daripada perkataan RABB. Dalam bahasa arab, rabb boleh diterjemahkan sebagai Yang Mencipta; Yang Mentadbir; Yang Menghidup dan Yang Mematikan; Tuan Punya serta beberapa terjemahan yang lain.

Allah mencipta, memiliki dan mentadbir seluruh alam. Allah merupakan tuan punya kepada alam raya ini. Langit, bumi, gunung-ganang, malah diri kita serta semua yang ada pada kita hakikatnya adalah milik Allah. Mata kita, telinga kita, ibu bapa kita, harta kita dan segala-galanya adalah milik Allah. Maka jika Allah hendak mengambil kembali apa-apa yang telah dikurniakan kepada kita, tiadalah harus bagi Allah untuk meminta izin terlebih dahulu daripada kita. Jika Allah mengambil kembali insan yang kita cintai, atau harta yang kita sayangi, atau anggota badan yang kita membesar dengannya, sesungguhnya kita tidak dapat menghalang kerana semua itu adalah harta kepunyaan Allah.

Sekalian alam merupakan milik Allah, harta kepunyaan Allah. Manusia, haiwan, tumbuhan serta seluruh alam dimiliki oleh Allah. Lalu apakah bezanya manusia dengan ciptaan Allah yang lain? Kita dijadikan sebagai sebaik-baik ciptaan atas kelebihan akal dan hati kurniaan Allah. Jadilah kita lebih sempurna dan lebih baik penciptaannya daripada sekalian makhluk yang lain. Maka, ingatlah…
“KITA MERUPAKAN HARTA ALLAH YANG TERBAIK!!!”
NILAI PEMBERIAN ALLAH

Berapakah nilai semua pemberian Allah kepada kita itu?

Hari ini kita bekerja makan gaji. Katakan kita diberi gaji bulanan sebanyak RM2000 sebulan oleh majikan. Dengan pemberian sebanyak itu, atau mungkin lebih kurang daripada itu, kita berterima kasih dan sanggup bekerja bersungguh-sungguh untuk majikan yang memberi gaji kepada kita; lalu bagaimana pula pekerjaan dan amal kita kepada Allah?

Mari kita menilai secara kasar pemberian Allah kepada kita.

Mata kita; jika hari ini ada orang mahu menukar sebelah mata kita dengan harga timbunan jongkong-jongkong emas, sanggupkah kita menukarnya?

Tangan kita; jika hari ini ada insan yang mahu membeli sebelah tangan kita dengan wang yang berjuta-juta nilainya, adakah kita sanggup memotongnya?

Akal kita, jika hari ini ada seorang hartawan mahu memberikan seluruh hartanya kepada kita dengan syarat kita perlu menjadi gila, adakah kita sanggup menerima tawaran tersebut?

Pasti dan pasti tiada sesiapa pun yang sanggup. Malah, tidak mungkin penilaian kasar di atas dapat menghitung nilai pemberian Allah kepada kita setiap hari. Malah, gaji yang kita terima setiap bulan juga sebenarnya adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada kita melalui tangan majikan.

Maka, tanya kembali kepada diri, berapa banyak amal kita untuk manusia yang memberi secebis nikmat Allah kepada kita, dan bagaimana pula amalan kita kepada Allah yang Maha Kaya dan Maha Pemberi segala nikmat… Pastinya nikmat Allah itu tak terhitung banyaknya…

KENAL ALLAH SYARAT MENJAGA AMANAH


Semua nikmat yang Allah kurniakan itu merupakan amanah yang perlu dijaga dan digunakan sebaik mungkin. Mengenali Allah adalah syarat utama untuk kita menjalankan amanah yang dipikulkan kepada kita. Mana mungkin kita mampu menjaga sesuatu yang tidak diketahui siapa pemiliknya.

Kuasa merupakan nikmat dan amanah kurniaan Allah. Tanpa mengenali Allah, seseorang itu akan cenderung untuk menyalahgunakan kuasa yang diberi.

Nafsu juga adalah amanah Allah kepada manusia. Gagal mengenal Allah menyebabkan manusia gagal mengawal nafsunya, lalu menggunakannya ke arah kemaksiatan.

Kasih sayang itu juga merupakan nikmat dan amanah kurniaan Allah. Sesiapa yang tidak mengenali tuhannya pasti cenderung untuk menyalurkan kasih sayang itu ke tempat yang tidak sepatutnya.

Maka, dengan mengenali Allah, serta mengetahui kehendak serta larangan Allah barulah kita mampu mengendalikan dan memikul amanah serta nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita sebaik mungkin…
PENTING DAN YANG LEBIH PENTING

Adakah kita dapat hidup tanpa makanan? Ya, kita dapat hidup tanpa makanan. Buktinya ketika ini adakah kita sedang makan? Mungkin ya, dan mungkin tidak. Makanan itu penting, tetapi kita tidak memerlukannya sepanjang masa. Ada masa dan ketikanya kita perlukan makanan dan minuman.

Bagaimana pula dengan kasih sayang? Adakah ia penting? Ya, kasih sayang penting untuk menyempurnakan kehidupan seorang manusia. Tetapi untuk hidup, kita tidak memerlukannya sepanjang masa kerana ada anak-anak yatim yang membesar tanpa kasih sayang.

Tetapi adakah kita dapat hidup tanpa perlu kepada Allah? Jika ada yang menjawab YA, sila nyatakan bila saat dan ketikanya kita tidak perlukan Allah? Ketika tidur? Lalu siapakah yang menggerakkan jantung kita sepanjang masa? Ketika mati? Bukankah jasad kita disemadikan di tanah milik Allah. Jelas, Allah itu lebih penting daripada segala-gala yang penting kerana setiap perkara penting di dunia, hakikatnya tidak akan wujud tanpa kehendak dan izin Allah.

Apakah ranking pertama dalam hieraki kepentingan dalam diri kita? Anda ada jawapannya…
KASIH SAYANG ALLAH

Tanpa kasih sayang, kehidupan manusia akan terencat kerana kasih sayang itu baja yang menyuburkan dan menumbuhkan hati yang sihat dalam kehidupan. Seorang anak menyayangi ibu, seorang suami mengasihi isteri, ibu bapa menyayangi anak-anak. Kerana kasih sayang, ibu bapa sanggup berkorban dan bersusah payah untuk anak-anaknya.

Mintalah seorang ibu menggambarkan rasa kasih sayang terhadap anaknya. Tidak tergambar dan terungkap kasih itu dengan kata-kata. Ibu bapa mencurahkan kasih sayang untuk anak-anak, mengerahkan keringat demi anak-anak, sanggup bersusah payah demi melihat kesenangan anak-anak. Bayangkan apabila anak itu membesar lalu dia lupa segala pengorbanan dan kepayahan ibu bapanya, apakah pandangan masyarakat terhadap anak itu? - Anak derhaka, tak mengenang budi, anak kurang ajar atau mungkin anak syaitan dan sebagainya.

Begitu tinggi nilai kasih sayang ibu terhadap anak, tetapi pasti tidak dapat menandingi kasih sayang Allah yang mengasihi hamba-hambanya 70 kali lebih daripada kasih sayang seorang ibu. Bayangkan pula situasi sekarang ini, betapa ramai manusia termasuk yang pernah mengucap kalimah syahadah yang lupa kepada Allah; tidak solat, tidak pernah beribadah, hidup penuh dengan maksiat, malah lebih malang lagi langsung tidak mengenali siapa sebenarnya tuhan yang harus disembah. Jadi, bagaimana kedudukan mereka ini? – 70 kali lebih derhaka daripada anak-anak derhaka, 70 kali lebih kurang ajar daripada anak-anak yang kurang ajar. Tetapi Allah masih membuka pintu taubatnya.

Manusia bukannya anak-anak Tuhan, tetapi kita adalah hamba kepada Allah. Di sisi manusia, kedudukan hamba adalah yang paling hina. Jika kuli, sekurang-kurangnya dia dibayar gaji untuk melaksanakan tugasan. Hamba pula merupakan harta pemiliknya. Tuan kepada hamba memberi segala keperluan hamba tersebut seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagai balasan, si hamba perlulah mengikuti segala kehendak tuannya. Jika tuannya itu mati, hamba tersebut tidaklah menjadi bebas kerana hamba adalah harta- boleh ‘difaraid’kan. Begitulah kedudukan seorang hamba yang dimiliki oleh manusia.

Allah merupakan tuan kepada manusia. Allah telah memberi segala keperluan untuk manusia hidup sempurna di muka bumi. Sebagai balasan, manusia perlu taat dan patuh serta mengikuti segala suruhan yang telah ditetapkan oleh tuannya, iaitu Allah. Tetapi cuba kita lihat bagaimana hamba-hamba ini berkelakuan kepada tuannya. Lupa, derhaka, malah menghina tuannya sendiri. Sepatutnya hamba-hamba ini telah lama diseksa atas perbuatannya. Namun Allah bukanlah tuan yang terus mahu membalas perbuatan hamba-hamba terhadapNYA. Allah Maha Pengasih, Allah Maha Penyayang. Itulah sifat pertama yang diperkenalkanNYA kepada hamba-hambaNYA.

Manusia sering berlagak seperti tuan, padahal kita hanyalah hamba kepada Tuhan…

Kenalilah Tuhan, nescaya kita akan menemui jalan…
Jalan yang lurus, bukan bersimpang siur…
Jalan yang mencari redha, bukan jalan derhaka…
Jalan menuju ke syurga, bukan ke neraka…



1 ulasan:

  1. Terima kasih share artikel ini. Sangat memberi manfaat.. :D

    Blog Influencer Malaysia, beriklan secara percuma dengan kami di Femes Malaysia

    BalasPadam