SELAMAT DATANG KE LAMAN INI
ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH
DOAKU....
"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."
Islamic Widget
Islamic Clock
Ahad, 3 Julai 2011
BUKU LAKARAN KUATKAN MEMORI
BUKU lakaran (sketch book) yang merupakan sebuah buku lukisan kosong boleh diibaratkan sebagai peralatan paling asas buat pelukis selain pensel, pewarna dan berus lukisan.
Sebelum menghasilkan sebuah lukisan, kebanyakan pelukis menggunakan buku tersebut untuk melakar apa yang ingin dilukis terlebih dahulu.
Kemudian hasil lakaran tersebut akan digunakan sebagai panduan pelukis itu sendiri.
Buku itu juga sebenarnya banyak membantu pelukis-pelukis untuk memantapkan lagi kebolehan melukis atau mewarna.
Bagaimanapun, pada hari ini ia jarang digunakan lebih-lebih lagi setelah pelbagai teknologi dicipta untuk memudahkan pelukis-pelukis mendapatkan bahan rujukan.
Contohnya seperti penggunaan kamera digital. Pelukis zaman kini lebih banyak menggunakan gambar yang diambil untuk merekodkan tarikh, rujukan atau panduan untuk lakaran dan kegunaan lain.
Bagi pelukis tersohor, Yusof Ghani, buku lakaran merupakan peralatan penting yang digunakan setiap kali melakar gambar-gambar yang ingin dihasilkan.
Beliau berkata, berbanding dulu, kebanyakan pelukis pada zaman ini menggunakan kamera digital untuk merakamkan gambar-gambar yang ingin dilukis.
Bagaimanapun, kaedah moden itu tidak digemari beliau, sebaliknya lebih berbangga untuk menggunakan kaedah lama, melakar dalam buku lakaran.
“Buku lakaran banyak membantu saya untuk menyimpan memori yang saya lihat. Malah dengan kaedah melakar, memori dan kemahiran saya semakin bertambah baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kerja terbarunya yang bertajuk Taman di Galeri Seni Puncak baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Datuk Mohd. Yusof Ahmad, kolektor seni dan penggiat seni visual tempatan bagi memeriahkan majlis tersebut.
Seperti yang diketahui ramai, Yusof banyak menghasilkan karya-karya bertemakan isu-isu sosial dan alam sekitar.
Pengalaman selama 30 tahun sebagai seorang artis membolehkannya menghasilkan karya-karya agung seperti dalam siri Tari, Topeng, Wayang, Segerak, Biring dan Wajah.
Manakala siri lukisan Hijau dan Ombak pula, lebih memberikan tumpuan terhadap isu-isu berkaitan dengan sifat dan persekitaran.
Dalam siri terbarunya (Taman), landskap visual menjadi isi utama, berbanding dengan ulasan sosial dalam siri sebelum ini (Hijau dan Ombak).
Taman juga mencerminkan penerokaan terhadap kepercayaan kuat seniman itu terhadap keperluan penerokaan perjalanan seninya.
Kerja seni dalam siri Taman itu juga dihasilkan oleh Yusof berdasarkan pengalaman peribadinya ketika mengembara ke tiga taman bandar raya utama di Amerika Syarikat dan Eropah baru-baru ini.
Dalam pengembaraannya selama empat bulan itu, Yusof mengambil peluang untuk melawat Central Park di New York, Hyde Park di London dan St. Denis di Paris.
Ketika berada di sana, beliau memerhatikan detik-detik dan mengkaji struktur warna yang terdapat pada ketiga-tiga taman tersebut yang kemudiannya dijelaskan dalam siri terbarunya itu.
Kesemua karya Taman kaya dengan lapisan warna-warni yang memenuhi segenap ruangan atmosfera dalam lukisan itu yang menjelaskan babak-babak ketika musim sejuk serta pemilihan warna menjadi gambaran kepada bandar-bandar tersebut dengan gabungan berunsur misteri dan mistik pada musim itu.
Yusof menggunakan gaya ekspresif dengan strok berus yang menghasilkan suasana spontan dalam lukisan.
Selain itu, beliau juga menggunakan teknik warna bercampur dan warna tulen tidak bercampur untuk mendapatkan kesan khas pada pencahayaan.
“Saya banyak mengembara dan tengok dunia luar. Peluang melihat apa yang berlaku membuatkan saya suka menghasilkan sesuatu yang bersifat universal seperti isu-isu semasa yang lebih global.
“Sebab itu saya ke taman-taman tersebut dan berdasarkan apa yang saya lihat dengan suasana sayup ketika musim sejuk memberikan sumber inspirasi untuk saya melakar dan apabila saya pulang ke Malaysia, idea untuk menghasilkan tema ini datang dengan sendirinya.
“Kehidupan ini umpama roda. Ada kalanya kita bersedih dan gembira tetapi perasaan itulah yang saya ingin pamerkan dalam kerja terbaru ini selain cuba untuk terokai tingkah laku manusia berdasarkan seni yang merupakan bahasa universal,” jelasnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan