SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Rabu, 27 Julai 2011

PROGRAM OUTREACH KEBANGSAAN DISG PETANI, KEDAH...21-25 JULAI 2011

Bersama 4 orang guru pengiring dan 6 orang pelajar smvkt telah ke Sg Petani , Kedah kerana menghadiri Pameran Outreach peringkat kebangsaan di sana



Bersama Nubhan AF...Syawal AF dan Cg, Mat AF,,,hehehe



Day 2...majlis perasmian

Day 1...persiapan booth


Banting Program Outreach

Sabtu, 16 Julai 2011

MENCARI KETENANGAN HATI...


Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
  • Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!  
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
  • Rasa kehambaan.
  • Rasa bertuhan.
  • Memahami maksud takdir.
  • Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
  • Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
  • Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.
  • Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”
  • Mendapat hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah: 214)
Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.
Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

TIDUR BUKAN SEKADAR MEMEJAMKAN MATA


Sering saya nasihatkan anak-anak (remaja) dengan nasihat yang diberikan oleh guru-guru saya. Antaranya, jika teratur tiga perkara ini maka teraturlah hidup kamu. Tiga perkara itu adalah waktu solat, waktu makan dan waktu tidurmu. Alam remaja, alam yang begitu dinamik, aggresif dan ‘adventurous’ – alam transisi yang serba kemungkinan. Remaja tidak suka diatur…Pada waktu itu sering peraturan dianggap satu ‘kekalutan’.
Namun, anak-anakku dengar pesan ini… atur ketiga-tiga perkara ini. Atur solat demi kesihatan jiwa mu. Atur makan demi kesihatan badan mu. Dan atur tidur demi kesegaran dan ketangkasan minda, fizikal dan mentalmu. Kali ini beri laluan untuk saya bercakap tentang tidur…kerana…  TIDUR BUKAN SEKADAR MEMEJAMKAN MATA.
Dalam Al-Quran, Allah SWT telah menyatakan bahawa malam Allah khususkan untuk tidur. Jadi, kita gunakanlah masa itu untuk tidur. Ini fitrah asal manusia. Manusia perlukan tidur sepertimana manusia perlukan makanan, minuman dan lain-lain. Tidak ada manusia yang sanggup melawan fitrahnya.
Jika kita melawannya, juga kita akan kalah. Jadi, tidak hairanlah tanpa tidur pada waktu malam kita akan keletihan pada siang hari. Dari segi kesihatan pula tidur yang cukup adalah asas dalam kesihatan badan. Manusia normal memerlukan 6 hingga 8 jam tidur dalam sehari.
Masalahnya, ada remaja yang suka berjaga larut malam. Istilah yang selalu kita gunakan untuk mereka ini ialah, ‘kutu embun’. Malam-malam mereka gunakan untuk aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti lumba haram, bergaul bebas, berbual kosong, video games, dan sebagainya. Percayalah… ini memudaratkan. Seeloknya, tidur awal dan bangun awal. Manfaatkan waktu selepas Subuh yang berkat itu.
Manusia selepas Isyak dikatogerikan kepada tiga. Pertama, yang mengisi malam-malamnya dengan aktiviti yang berfaedah seperti menelaah pelajaran, berbincang sesuatu yang bermanfaat dan lain-lain amal kebaikan. Mereka ini mendapat pahala.
Yang kedua, mereka yang melakukan perkara-perkara harus seperti dan terus tidur., mereka ini tidak memperolehi apa-apa, berdosa pun tidak berpahala pun tidak. Tetapi yang malangnya ialah mereka yang menggunakan waktu dengan aktiviti-aktiviti maksiat, maka mereka ini berdosa. Jadi, gunakanlah akal dan hati kita untuk menimbang, kita ini dalam golongan yang mana?
Remaja punya tanggungjawab asasi, maka dahulukan dan utamakanlah tanggungjawab yang asasi. Apakah tanggungjawab yang utama? Ya kebanyakannya para remaja masih belajar. Setelah itu, jika ada masa, ada tenaga dan ada kesempatan maka eloklah dibuat amalan-amalan sunat seperti qiamullail dan sebagainya. Cuma harus diingatkan bahawa keutamaan tetap pada menuntut ilmu, jangan sampai kita bangun untuk solat tahajjud pada malam harinya tetapi mengantuk hingga tidak dapat belajar dengan baik pada esok paginya.
Itu kurang tepat! Kewajiban belajar lebih utama daripada sembahyang sunat. Tapi ingat… yang saya katakan ialah solat sunat, tetapi jika solat wajib tidak ada kompromi. Ia wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan. Jangan tinggalkan solat wajib. Solat Subuh misalnya, jangan sekali-kali ditinggalkan atas alasan tidak cukup tidur…
Masa yang diperuntukan untuk tidur sekurang-kurangnya 6 jam yakni ¼ daripada umur kita. Ertinya jika kita hidup 40 tahun, 10 tahun telah dihabiskan untuk tidur. Pertama, hendaklah kita jaga niat, kaedah serta adab-adabnya. Sebelum tidur hendaklah kita niatkan untuk mendapat kerehatan, agar kita dapat bangun untuk solat Subuh pada hari keesokkannya. Sebaik-baiknya kita berwudhuk.. Air wudhuk itu akan menyejukkan hati kita, merehatkan emosi kita dan menstabilkan fikiran kita. Bacalah doa tidur, yang maksudnya, segala puji Allah yang menghidupkan dan mematikan daku.
Ya, menyentuh soal ini teringat pesanan yang pernah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada isterinya Siti Aishah RA. Baginda diriwayatkan telah berkata, wahai Aishah, janganlah engkau tidur sehingga kau melakukan 4 perkara ini, pertama, setelah habis membaca seluruh isi Al-Quran. Kedua, mengambil aku dan para Nabi sebagai penolongmu di hari kiamat. Ketiga, sehingga semua orang Islam redha dan memaafkanmu. Keempat, hingga kau selesai mengerjakan umrah.
Apabila Saiyidatina Aishah bertanya bagaimana? Rasulullah SAW menjelaskan bahawa jika kita tidak membaca surah Al-Ikhlas 3 kali samalah fadhilat dengan membaca keseluruhan isi Al-Quran. Bila kita berselawat ke atas nabi Muhammad SAW dari para nabi yang lain, maka mereka nanti akan membela keadaan kita di hari kiamat. Bila kita beristighfar dan memohon ampun untuk orang mukmin maka mereka juga akan redha terhadap kita kelak. Dan dengan membaca Allah hu Akhbar, Alhamdullilah, dan Subhanallah, samalah pahalanya seperti kita mengerjakan umrah.
Kemudian tidurlah dengan baik, seeloknya mengiring dengan pipi mengiring ke kanan dan muka menghadap kiblat. Kalau terlentang, letakkan tangan di atas kaki kiri. Itu sebelum atau awal-awal nak tidur.. dan apabila sudah tidur tentulah gaya bebas (kita tidak ingat apa-apa lagi). Tapi, elakkan daripada tidur meniarap, Rasulullah melarang sahabatnya tidur meniarap kerana itu gaya tidur ahli neraka.
Ya, itulah sebahagian cara tidur dalam Islam. Jika kita lakukan Insya-Allah Allah akan redha kepada kita sepanjang waktu kita tidur itu. ertinya , Allah kurniakan pahala. Begitulah pemurah-Nya Allah, Dia Maha Pengasih kepada kita. Jadi, bagi remaja apa salahnya kalau kita tidur dengan adab-adab yang saya sebutkan tadi.. Siapa tak mahu, rehat pun dapat.. Jika 40 tahun kita hidup, 10 tahun kita mengaut pahala dalam tidur sahaja.
Pada keseluruhannya, kisah ini membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Pertama, Allah mampu menidurkan seorang manusia lebih lama daripada biasa. Ertinya, hukum biologi dan fisiologi telah Allah batalkan dalam kes ini. Logiknya, tanpa makanan, tanpa pergerakan, dan tanpa buang air, tentulah pemuda-pemuda itu akan mati.
Kedua, ini membuktikan betapa Allah membela pemuda-pemuda yang beriman dengan cara yang cukup mudah. Iaitu cara tidur. Bayangkan Raja dan bala tenteranya telah memburu pemuda-pemuda beriman ini untuk dibunuh.. mereka begitu terdesak. Tetapi kuasa Allah telah menidurkan mereka. Setelah mereka bangun semuanya telah berubah. Inilah bantuan yang telah Allah berikan untuk orang-orang yang beriman.
Dalam Al-Quran Allah telah menyatakan bahawa Dia tidak rasa mengantuk apatah lagi tertidur. Ertinya, Allah sentiasa berjaga. Dia tidak letih, tidak rasa lapar, tidak rasa bosan, dan tidak rasa sakit sepertimana manusia. Mengantuk ini melambangkan kekurangan dan kelemahan, Maha Suci Allah daripada sebarang kelemahan dan kekurangan. Oleh itu, atas sifat-sifat kesempurnaan-Nya, Allah tidak tidur walaupun sedikit.
Ada banyak jenis tidur…ada yang tidur mati. Ini tidur habis-habisan. Tak sedar diri. Macam orang mati. Orang ini kalau kita ingin kejutkan tak boleh main panggil, tapi kena gegar, kena siram baru boleh. Kalau tidur ayam, kejap tidur, kejap tidak,. Mudah terjaga , tertidur tetapi macam tidak tidur. Tidur ayam ini lawan kepada tidur mati tadi.
Apa maksud saya menceritakan dua jenis tidur ini? Tidur ini lambang kelemahan insan. Kalau tidur mati tadi, kalau orang datang nak bunuh senang sahaja. Manakala, yang tidur ayam pula bahaya juga, kalau pandu kereta Insya-Allah akan menemui kemalangan. Jadi, di sinilah rasionalnya Allah itu tidak tidur. Allah sentiasa dalam keadaan jaga kerana perjalanan alam ini dan seluruh makhluknya sangat bergantung kepada-Nya.
Allah diperlukan oleh setiap makhluk pada setiap masa dan ketika. Penglihatan, pendengaran dan lain-lain sifat kesempurnaan Allah sentiasa berperanan. Allah tidak perlukan tidur, kerana Dia Maha Kuat dan tidak perlu berehat. Pernah diceritakan bagaimana pada suatu ketika Nabi  Musa AS pernah terdetik bagaimana kalau Allah tertidur… Ini bukan soal keraguan hati tetapi sekadar lintasan hati.
Untuk menjawabnya, Allah memerintahkan Nabi Musa membawa segelas susu dan menunggu-Nya di suatu tempat. Lama benar Nabi Musa menunggu akhirnya baginda mengantuk, dan bila mengantuk, segelas susu di tangannya pun terlepas dan lalu pecah.. Ketika itulah Allah menjelaskan bahawa keadaan itulah yang akan terjadi kepada dunia dan segala isinya jika Allah tertidur. Maha Suci Allah!
Pencuri, perompak dan lain-lain jenis penjenayah, selalunya mengambil kesempatan sewaktu orang lain sedang tidur atau alpa. Begitu juga orang orang yang melakukan maksiat, selalunya secara sorok-sorok. Misalnya, pada waktu malam, di tempat tersembunyi, ketika ‘black out’ dan sebagainya.
Ini semua kerana mereka ini ingin mengelakkan diri daripada penglihatan dan pendengaran orang. Tetapi, sebaliknya, jika mereka yakin bahawa Allah tidak tidur, sentiasa berjaga, sentiasa melihat dan mendengar, maka mereka tidak akan berani melakukan kejahatan. Walaupun orang lain sudah tidur, lampu telah terpadam, hari telah gelap…tetapi mereka yang benar-benar yakin bahawa Allah tidak tidur, tetap tidak akan melakukan kejahatan. Inilah kesannya kalau kita benar-benar yakin yang Allah itu tidak tidur..
Manusia begitu lemah. Pada ketika yang dia hendak berjaga, adakalanya dia mengantuk dan terlelap. Ada masanya dia hendak tidur, tetapi mata terus berjaga dan gelisahlah dia kerana tidak boleh tidur. Tidur itu sesungguhnya adalah separuh daripada kematian – kerana orang yang tidur tidak mampu mempertahankan diri daripada sebarang bahaya. Esok paginya apabila dia terjaga, dia seolah-olah dihidupkan semula.
Justeru Rasulullah mengajar kita berdoa dengan lafaz ini sebaik bangun daripada tidur… Segala pujian bagi Allah yang menghidupkan kami selepas  mematikan kami (tidur). Dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan. Ya, tidur itu sayugianya mengingatkan kita kepada kematian yang hakiki, kemudian kita akan dibangkitkan semula menuju padang perhimpunan yang besar… Padang Mahsyar. Di sanalah nanti kita semua akan dikembalikan dan dihimpunkan.
Awas anak-anak ku, jangan leka, jangan alpa…mungkin tidur mu nanti adalah tidur yang selama-lamanya.Sudahkah kita bersedia?

Jumaat, 15 Julai 2011

15 Syaaban 1432H (bersamaan 16 Julai 2011) - Nisfu Syaaban

Hari nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. 
Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk maghrib)

Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:

1. Selepas solat maghrib
Solat sunat nisfu sya'aban, 2 rakaat
Rakaat 1 : baca Al-Fatihah & surah Al-Qadar 1x
Rakaat 2 : baca Al-Fatihah & surah Al-Ikhlas 3x

2. Membaca Yasin 3x

i) Selepas Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah

ii) Selepas Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah

iii) Selepas Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman & pohonlah segala yang baik....
Kemudian baca Istighfar 11x & selawat 11x

Baca doa nisfu Sya'aban (ada didalam Yasin Majmuk)

3. Baca surah ikhlas 1000x

4. Berpuasa pada siangnya (Khamis)

bulan-bintang-(1).jpg

Abul Khair Al Talaqaani r.a. mengira nama2 malam Nisfu Syaaban sebanyak 22.


Antaranya yg termasyhur adalah:

1. Malam Dimustajabkan Doa
2. Malam Pembahagian Takdir
3. Malam Rahmat
4. Malam Berkat
5. Malam Pengampunan (Taubat)
6. Malam Penebusan
7. Malam Syafaat
8. Malam Penulisan
9. Malam Keagungan dan Kemuliaan
10. Malam Rezeki
11. Malam Hari Raya Para Malaikat
12. Malam Penghidupan

islamic1-1.jpg
Antara kelebihan bulan Sya'aban:

1. Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Sya'aban maka Allah haramkan tubuhnya dari api neraka dan dia akan menjadi teman kpd nabi Allah Yusof didalam syurga.

2. Riwayat dari Osman Bin Abi Al-As, Sabda Nabi Muhammad (saw) : pada malam nisfu sya'aban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman : adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintannya, adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka aku terima taubatnya dan diampunkan semua orang mukmin lelaki & perempuan , melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.

Sebaik-baiknya minta ampun dengan ibubapa sebelum harinisfu sya'aban kerana amalan kita akan terhalang dari diangkat ke langit sekiranya kita derhaka/berdosa dengan ibubapa kita.

Wallahua'alam 

Selasa, 12 Julai 2011

Kebahagiaan....

Kebahagiaan sebenarnya bukan terletak pada mata, tangan, kaki atau anggota-anggota lain. Rasa bahagia itu tempatnya di hati. Kalau hati senang, dalam kemiskinan pun kita boleh merasai kebahagiaan. Sebaliknya kalau hati rosak binasa maka ilmu setinggi langit pun akan membebankan kekayaan yang melimpah pun akan membawa penderitaan, pangkat yang panjang berjela pun merantai jiwa merana. Oleh itu, untuk menemui kebahagiaan hidup untuk individu mahupun untuk masyarakat, apa yang mesti diutamakan ialah mendidik hati individu-individu insan dengan iman dan taqwa. Bukan dengan duit, pangkat, ilmu tinggi, kemewahan, pembangunan, kemajuan dan kemodenan.

Iman dan taqwa dipupuk melalui fasa fasa ’tazkiyah’ boleh membuatkan orang miskin terhibur dengan kemiskinannya. Iman dan taqwa boleh membuatkan orang kaya pemurah dengan hartanya dan rasa terhibur kalau dapat menyumbang kepada masyarakat dan menderma kepada fakir miskin. Iman dan taqwa boleh membuatkan orang-orang yang berkuasa rendah hati dengan rakyatnya serta terhibur kalau dapat berkhidmat pada rakyat.

Iman dan taqwa membuatkan anak-anak terhibur untuk taat kepada ibu bapa, isteri suka dan terhibur untuk taat kepada suami, pengikut terhibur mentaati para pemimpin, anak murid terhibur untuk hormat dan kasih kepada guru, si gadis jadi malu serta terhibur tinggal di rumah dan pemuda terhibur untuk memikul tanggungjawab dan menyumbangkan tenaga.

“Kebahagiaan itu adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dihayati, adalah kelapangan dada kerana prinsip yang menjadi pedoman hidup dan ketenangan hati kerana kebaikan semata disekekeliling kita- Dr Aidh Al Qarni dalam bukunya “ La Tahzan”


”Wahai jiwa jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! - Surah Al Fajr ayat 27-30

TEKA TEKI IMAM AL GHAZALI


Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya :
Soalan pertama
Imam Ghazali : Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?
Murid 1 : Orang tua
Murid 2 : Guru
Murid 3 : Teman
Murid 4 : Kaum kerabat
Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran:185) .
Soalan kedua
Imam Ghazali : Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?
Murid 1 : Negeri Cina
Murid 2 : Bulan
Murid 3 : Matahari
Murid 4 : Bintang-bintang
Iman Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, teta! p kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
Soalan ketiga
Iman Ghazali : Apa yang paling besar didunia ini ?
Murid 1 : Gunung
Murid 2 : Matahari
Murid 3 : Bumi
Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka .
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. ” (Surah Al-A’raaf, Ayat 179)
Soalan keempat
Imam Ghazali : Apa yang paling berat didunia ?
Murid 1 : Baja
Murid 2 : Besi
Murid 3 : Gajah
Imam Ghazali : Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah(pemimpin) di duni! a ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia
masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.’
Soalan kelima
Imam Ghazali : Apa yang paling ringan di dunia ini ?
Murid 1 : Kapas
Murid 2 : Angin
Murid 3 : Debu
Murid 4 : Daun-daun
Imam Ghazali : Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat. Na’uzubillahiminzaa lik.
Soalan keenam
Imam Ghazali : Apa yang paling tajam sekali didunia ini ?
Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang
Imam Ghazali : Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalahLIDAH MANUSIA . Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri