SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Khamis, 30 Disember 2010

Cinta Allah adalah cinta hakiki


CINTA monyet adalah asam garam yang pernah dilalui pada zaman remaja. Apabila sudah bercinta maka bermulalah episod saling merindui dan tanda seseorang itu sudah 'diserang' penyakit angau.
Untuk mendapat cinta, manusia berusaha apa saja cara tidak kira di mana dan masa asalkan sasaran cinta tercapai. Dalam mencari cinta sejati manusia, bukan hanya remaja, kadang-kadang tersasar dalam erti sebenar cinta.
Kita hanya bergelut mencari cinta manusia yang tidak bertahan lama dan hanya kadangkala bersifat lipstik. Lupa kepada cinta agung yang menjadi sumber segala cinta.

Cinta Allah adalah cinta hakiki. Kemuncak segala motivasi, samudera segala bekalan dan kesudahan segala keindahan.


Cinta yang membawa kepada segala kebaikan dan berkesudahan menikmati dua syurga iaitu syurga dunia dan akhirat.

Jika Allah adalah cinta segala cinta, dunia akan bertenggek di menaranya. Yang patut diusaha dengan sekuat tenaga, bagaimana hendak dapat cinta Allah.

Sebagai panduan, di sini dijelaskan beberapa faktor dan resipi bagaimana hendak mendapatkan cinta agung Allah.

1. Dengan membaca al-Quran serta merenung dan memahaminya. Berinteraksi dengan al-Quran sama seperti berinteraksi dengan Allah. Sebab kitab ini adalah penghubung di antara makhluk dengan pencipta-Nya.

Dalam hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarnya."

Kemudian dalam keterangan lain Rasulullah menjelaskan: "Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa sahaja yang membacanya pada hari akhirat kelak."

Di rumah sahabat dulu, biasanya tergantung al-Quran dan pedang. Kenapa dua-dua ini digantung? Sebabnya pedang digunakan untuk pertahanan dan membuka negeri manakala al-Quran untuk membuka hati.

Sekiranya kita boleh baca akhbar dan majalah, malah menghabiskan duit untuk mengumpul gambar penyanyi takkanlah tidak ada masa sebentar untuk baca al-Quran.

Hati yang tidak dihuni dengan al-Quran akan dipenuhi kemunafikan, khayalan gangguan dan kemurungan. Maka isilah hati kita dengan ayat al-Quran.

Kisah seorang sahabat bernama Ubay yang pernah namanya disebut Allah kerana suka membaca al-Quran. Apabila Nabi beritahunya, Ubay terus menangis.

Nabi uji Ubay dengan soalan, apakah ayat al-Quran yang paling agung. Beliau menjawab: "Ayat kursi." Banyakkanlah membaca ayat ini.

Selain itu, jika hendak dapat cinta Allah seseorang itu perlu solat malam (Qiyamullail). Kita memang biasa bangun malam atau berjaga malam.

Tapi bukan untuk solat, tetapi untuk tengok bola, menonton filem, berborak serta melepak. Qiyamullail tidak semestinya bangun pada jam tiga atau empat pagi.

Cukup sekadar sembahyang dua rakaat sebelum masuk waktu Subuh sudah memadai. Ketika menonton siaran bola sepak pula, ketika perlawanan berhenti pada waktu rehat kita ambil wuduk dan bersolat sunat dua rakaat.

Antara cara yang boleh dilakukan ketika Qiyamullail ialah:
1. Berniat untuk bangun solat malam dan berdoa.
2. Jangan melakukan dosa pada siang hari sebab dosa pada waktu siang hari akan ikat rohani kita daripada bangun malam.
3. Tidurlah awal sedikit. Jika tidur jam satu atau dua pagi kemudian hendak bangun Qiyamullail memang tidak jadi.
4. Tidur sekejap waktu tengah hari.

Justeru, hendak dapat cinta Allah ialah dengan merenung ayat Allah. Merenung ayat Allah maknanya merenung kejadian yang Allah ciptakan seperti kejadian langit yang tiada bertiang tetapi boleh tertegak dengan kukuhnya.

Allah sembunyikan malam dan datangkan cerah dan siang. Bagaimana Allah jadikan kita? Besarkan kita? Kemudian usia kita menginjak remaja, akhirnya menjadi tua.

Kemudian bagaimana Allah jadikan tumbuhan nampak sama, tetapi tidak serupa? Buah rambutan nampak serupa, tetapi tidak sama.

Semua ini akan mendekatkan kita kepada Allah. Kita perlu merasa betapa lemah dan kerdilnya diri kita terhadap keagungan Allah.

Maka jika kita cinta kepada Allah maka Allah pasti akan membalas semula cinta kita.

Kita bukannya stereotaip!


Tidakkah ada rasa bersalah, apatah berasa rendah diri kerana hanya menjadi penonton dan bukannya pengubah kepada apa yang berlaku di sekeliling kita? Bukankah sedari kecil, kita berani, kita degil, kita suka mencuba apa yang dilarang oleh orang tua kerana jiwa kembara kita yang membara?


Ya, sewaktu kecil dahulu kita boleh bermandi hujan. Hari ini kita berlari dari padang letak kereta ke pejabat semata-mata kerana takut kepala kita pening terkena hujan gerimis. Dahulu, kita boleh terjun ke sungai dan berkubang di dalam sawah. Hari ini, kita terketar-ketar hendak melangkah parit kecil menuju ke gerai pasar malam. Dahulu, kita berani panjat pokok. Hari ini, semangat kita hendak terbang ketika memanjat tangga untuk menyapu sawang di siling rumah.


Seharusnya, semakin kita dewasa, kita menjadi semakin handal, semakin berani dan semakin pakar dalam apa jua bidang yang kita terokai. Hari ini lebih bagus daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Itulah yang seharusnya menjadi semangat untuk memaju diri. Umpama berlian yang semakin lama semakin keras dan semakin tinggi nilainya. Bukan seperti bangkai yang semakin lama semakin busuk, semakin reput dan akhirnya menjadi debu.


Tetapi, kerana terlupa untuk bermuhasabah diri, kita biarkan diri hanyut di arus kehidupan. Hinggakan kita ada kerja, tetapi tiada kerjaya, ada daya tetapi tiada usaha, ada keinginan tetapi tiada hasrat dan ada mimpi tetapi tiada impian. Begitulah bila kita biarkan minda dipengaruhi unsur-unsur dari luar sehinggakan suara hati sendiri telah tenggelam.


Berubahlah. Berubah dengan menambah. Apakah bahasa baharu, buku baharu, hobi baharu atau surah baru yang sudah dihafal pada tahun ini? Apakah jumlah sedekah kita sudah bertambah? Apakah kita boleh menerima teknologi baru, jika bukan sebagai penciptanya, sekurang-kurangnya sebagai penggunanya?


Kalau kita menutup buku sebaik sahaja kita menyimpan skrol ijazah, kalau kita menutup hati sebaik sahaja kita melipat sejadah, maka kita akan jadi sama seperti orang lain di luar sana. Mereka di luar akan bercakap ~ bukan bertutur, mengagak ~ bukan mentafsir, mengira ~ bukan mencongak, kasihan ~ bukan prihatin dan pandai bertanya tetapi tidak reti menyoal. Kita jadi orang biasa di kalangan orang yang biasa.


Jika dipandang dari langit, kita seperti sekelompok haiwan yang berkulit, berwajah dan bertindak mengikut apa yang dibuat oleh haiwan yang lain. Jika begitulah kita, sukar juga kita menjadi insan terpilih. Kreatifnya ALLAH Al-Mussawir, membentuk wajah-wajah manusia yang berbeza. Meskipun kita semua mempunyai dua mata, dua telinga, satu hidung dan satu mulut. Tidak ada satu pun wajah kita di antara berbilion manusia yang lain mempunyai yang serupa. Sehinggakan pasangan kembar pun ada perbezaan raut wajahnya. (Yang punyai wajah yang serupa hanyalah pelanduk!)


Oleh kerana tidak ada satu pun manusia yang sama seperti kita, sewajarnyalah kita menjadi insan unik. Punyai identiti, hasrat, impian, iltizam mahupun istiqamah yang lain daripada orang lain. Kita patut begitu kerana bukan orang lain. Kita adalah diri kita.


Kita bukannya stereotaip!

MALAYSIA...TANAH TUMPAH DARAHKU

Bagaimana kita melihat negara kita, Malaysia, adakah sebagai satu lokasi di: peta bumi atau satu sistem kerajaan?

Mungkin cara pandangan terhadap negara menyebabkan kurangnya sifat patriotik dalam kalangan masyarakat negara ini.

Tidak perlu bercakap mengenai berjuang untuk negara di medan perang; bukan patriotik itu yang dimaksudkan. Tetapi lebih kepada kehidupan seharian. Di mana kita membuang sampah setiap hari? Ke luar tingkap kereta dan mengotorkan jalan raya?

Adakah kita membersihkan kembali kawasan pantai atau hutan selepas berkelah dan mengadakan perkhemahan atau longgokan sampah itu hanya dibiarkan sehingga mengundang lalat dan ulat?

Bayangkan Malaysia sebagai sesuatu yang mempunyai perasaan. Apa perasaan Malaysia apabila melihat kita mengotorkannya? Apa perasaannya bila melihat kita tidak bersatu padu, bergaduh sesama sendiri, baik dari segi politik atau sosial?

Apa pula perasaannya apabila melihat anak kelahiran tanah air ini enggan pulang ke pangkuannya dan memilih untuk menetap di luar negara selepas berjaya, tanpa sedikit pun memikirkan mengenai Malaysia yang setia bersama pada masa kesusahan?

Memang ia berhak berasa tersinggung. Masakan tidak, hampir 1.5 juta anak-anak�nya yang kini bergelar profesional lari ke luar negara dan lebih sanggup mencurah�kan kemahiran di negara asing daripada berbakti kepada negara sendiri; dan semua itu hanya kerana wang ringgit?

Jika pun kita tidak bersetuju dengan pemerintahan atau situasi ekonomi di negara ini, mengapa tidak sama-sama berjuang memperbaiki negara yang setia bersama kita?

Bagaimana pula dengan jutaan pekerja asing yang sanggup meredah lautan bergelora hanya semata-mata mahu mencari rezeki di Malaysia? Begitu istimewanya Malaysia di hati mereka. Mengapa kita tidak begitu? Pernahkan kita fikirkan perasaan Malaysia?

Mungkin juga Malaysia berkata pada dirinya: “Aku sangat bertuah, bumiku aman. Lihatlah jiran-jiranku, banyak masalah dan kerap dilanda bencana. Semestinya aku istimew:a.

“Tetapi mengapa rakyatku tidak menghargai keamanan ini dan masih berebut-rebut serta bergaduh untuk menarah badanku semata-mata demi keuntungan dan kepentingan diri? Bukankah lebih baik jika mereka bersatu dan menjagaku bersama-sama?”.

Pernahkan kita fikirkan, jika Malaysia mampu berfikir dan berkata-kata, tentunya ia tertanya-tanya mengapa warga asing lebih menghargai bumi bertuah ini berbanding rakyatnya sendiri?

Ini kerana berdasarkan statistik, Malaysia menjadi pilihan utama pelancong dari Jepun sejak 2006 sehingga saat ini dan kebanyakan mereka tinggal di sini bagi tempoh waktu yang lama.

Menurut Duta Jepun di Malaysia, Masahiko Horie, rakyat Jepun sukakan cuaca nyaman, makanan sedap, kos hidup yang rendah dan kestabilan politik serta sosial di Malaysia.

Ke mana destinasi pilihan kita apabila bercuti? London? Paris? Sydney? Sudahkah kita melawat segenap bumi Malaysia sebelum memilih ke luar negara? Mengapa tidak menyumbang kepada industri pelancongan tempatan sebelum ke negara lain?

Mengapa kita tidak mampu menghargai negara sendiri seperti orang luar? Mungkin kerana kita tidak sedar apa yang dimiliki.

Begitulah fitrah manusia, tidak tahu apa yang dimiliki sehingga ia terlepas daripada genggaman. Lupakah kita dengan pepatah ”Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung” ?

MALAYSIA BOLEH.

.


Tahniah kepada pasukan bolasepak Malaysia kerana berjaya menjadi JUARA dalam pertandingan Piala Suzuki AFF dengan menewaskan TIMNAS Indonesia dengan agregat 4-2. SENTUHAN ajaib K Rajagobal terus berbisa tatkala membawa pasukan negara merangkul gelaran Piala Suzuki AFF 2010 buat pertama kali sejak penyertaan sulung di Singapura pada 1996, walaupun tewas 1-2 pada perlawanan akhir timbal balik di Senayan, Jakarta, semalam.

Malaysia juara baru edisi kelapan hasil agregat 4-2 di hadapan penyokong setia Indonesia yang segan-silu melihat pasukan kesayangan mereka sekadar naib juara di gelanggang keramat, Gelora Bung Karno.

Sebelum perlawanan bermula, skuad Harimau Malaya berdepan ranjau kerana menghadapi pelbagai gangguan penyokong lawan, diejek termasuk diancam ugutan yang menjejaskan keselamatan.

Indonesia bermula garang apabila mengasak ke kubu pasukan Malaysia sejak wisel pertama.
Serangan menggila skuad Merah Putih yang ditunjangi Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim akhirnya berhasil apabila berjaya mendapat tendangan penalti setelah bola terkena tangan Sabree Abu pada minit ke-17.

Namun, mungkin kerana kegugupan dan terlalu yakin ingin menjaringkan gol, sepakan penalti diamanahkan kepada Firman Utina sekadar singgah tepat ke dalam dakapan penjaga gol terbaik negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Ternyata, kegagalan Firman untuk menyudahkan tendangan penalti terus membakar semangat pemain negara melancarkan serangan bertali arus ke pertahanan Indonesia.

Penyerang Terengganu, Ashari Samsudin hampir meledakkan gol pertama negara pada minit ke-20, namun tendangan cantiknya berjaya di tangkap kemas Markus Rihihina.

Separuh masa pertama ditamatkan tanpa jaringan.

Memasuki separuh kedua, pasukan negara mula menyusun strategi dan tidak banyak bertahan seperti dalam separuh masa pertama.

Tuan rumah dikejutkan dengan gol menarik menerusi Safee Sali yang berjaya memperdayakan dua pertahanan Indonesia sebelum merembat kencang untuk menjadikan kedudukan agregat 4-0.

Namun begitu, asakan bertubi ke kubu negara menyebabkan gawang yang dikawal Khairul Fahmi bocor juga apabila Mohammad Nasuha berjaya meletakkan gol penyamaan pada minit ke-71.

Gol semangat itu terus menyalakan api kebangkitan skuad Garuda apabila Muhammad Ridwan meledak gol pendahuluan pada minit ke-88.

Harapan Indonesia untuk memburu gol tambahan tidak terlaksana kerana setiap serangan ke kubu Malaysia berjaya dipatahkan.

Pengadil perlawanan dari Australia, Peter Green yang mengadili permainan sepanjang 90 minit akhirnya meniup wisel panjang sekaligus mengesahkan skuad negara sebagai kuasa baru arena bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Serentak dengan itu, seluruh pemain dan pegawai negara bingkas berlari ke padang, ada yang menangis kegembiraan serta tunduk sujud sebagai tanda bersyukur kepada Ilahi. Malaysia Boleh!



Anak-anakku...penyokong kuat Malaysia..

ANTARA MIMPI DAN IMPIAN.

Lihatlah mereka yang sebenar-benarnya berjaya. Kejayaan mereka dicipta. Ia bukannya nasib. Dari segi zahir, kejayaan yang diperoleh tampak begitu senang dan mudah. Padahal, segala derita sengsara, duka nestapa dan peluh bersama air mata darah telahpun dihadapi dengan sabar, reda dan pasrah.

Senyuman Siti Nurhaliza sambil bernyanyi dengan suara yang lantang tampak begitu bersahaja. Tidak kelihatan urat timbul di lehernya, kerut dahinya, cemik wajahnya kerana pasti dia sudah melalui latihan demi latihan secara konsisten. Kita tidak tahu pantang makan minumnya untuk menjaga suara, cukup atau tidak tidurnya demi menjaga stamina, rasa kecewanya kerana tidak dapat mengingat lirik lagu-lagu terbaru untuk malam persembahan. Namun, apa yang terpamer ketika persembahan ialah kerehatan di wajahnya.

Sengih tokoh politik yang menjawab dengan tenang bila berdepan dengan soalan-soalan nakal wartawan, atau amaran dari ahli-ahli akar umbi partinya, mahupun jerkah seorang wakil orang kampung di dalam majlis dialog adalah hasil daripada latihannya untuk memahami kerenah manusia. Mana kita tahu betapa hatinya sesak menelan dengan segala umpat dan fitnah, tidur-tidur ayamnya memikirkan masalah yang diperjuangkan dan keluhannya bila membuat keputusan yang tidak popular?

Tokoh korporat, panglima tentera, doktor, peguam, akauntan, jurutera, arkitek, profesor, pentadbir, aktivis NGO, guru, malah kerani yang berjaya biasanya mempamerkan peribadi yang tenang dan menyenangkan mereka yang berurusan dengan mereka. Tiada nampak kesukaran di wajah mereka. Yang paling ketara, orang-orang yang berjaya kerana membina kejayaan biasanya akan mempunyai masa untuk kita. Seolah-olah dirinya tidak sibuk dengan urusan lain kecuali melayani kita sahaja.

Kerana itu, kejayaan seseorang mahupun organisasi tidak boleh ditiru begitu-begitu sahaja. Jika kejayaan ditiru, ia tidak akan kekal lama. Tidak kiralah sama ada kejayaan menguruskan badan seperti duta makanan diet, menjadi pelakon popular, pemain bolasepak terkenal ataupun seorang novelis prolifik. Oleh kerana ia hanya tiruan, kejayaan yang diperoleh biasanya hanya sekejap. Puncaknya hanya dapat disentuh seketika sahaja hari ini. Pada hari esoknya, dia akan menggelongsor ke tempat asal.

Yang penting untuk berjaya ialah menjejaki daya mereka yang berjaya, bukannya meniru gaya mereka yang telah berjaya. Akibat hanya meniru gaya, kita hanya memperoleh kulit kejayaan. Sebaliknya bila kita meniru daya orang yang berjaya, kita akan memperoleh isi kejayaan itu sendiri.

Malang sekali, apabila kita lihat seseorang individu itu berjaya menjadi penyanyi misalnya, maka berduyun-duyunlah mereka yang ingin menirunya. Atau apabila terdapat sebuah syarikat berjaya memasarkan sesebuah produk dengan pendapatan berjuta ringgit, akan muncullah syarikat-syarikat yang menggunakan formula yang sama. Banyak syarikat begitu yang tumbuh seperti cendawan. Padahal, apa yang tumbuh seperti cendawan akan cepat mati seperti cendawan juga!

Pendek kata, mana ada jalan pintas untuk berjaya? Malah, jika kita gunakan segala pengaruh, kuasa dan wang untuk memasuki lebuh raya kejayaan, ia pasti dihalangi dengan pelbagai tol kerenah yang bukan-bukan sebagai imbuhan.

Justeru itu, janganlah bermimpi untuk berjaya. Sebaliknya kita mesti memasang impian. Ini adalah kerana, mimpi dan impian adalah dua mode minda yang berbeza!

ADAKAH MINDA INI......????

“Small minds talk about people, average minds talk about issues, big minds talk about ideas.” Terjemahannya ialah, “mereka yang berminda kecil bercakap mengenai manusia, yang berminda sederhana, bercakap tentang isu, yang berminda besar, bercakap tentang idea.”

Beberapa tahun yang lalu, kemudahan internet mempertemukan saya dengan orang yang mengucapkannya. Orangnya ialah Eleanor Roosevelt, isteri kepada Franklin D. Roosevelt, Presiden Amerika yang ke-32. Di mana dan mengapa Eleanor melahirkan madah itu tidak saya temui. Namun, saya memperoleh satu ilmu untuk mengenal jenis minda manusia.

Memang benar, manusia yang berminda kecil suka bercakap mengenai orang lain. Mereka ini mudah dikenali kerana mereka hidup di dalam paksi dan orbit seharian yang sama. Paksi dan orbit yang serupa ini dilalui hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun.

Kita lihat manusia tipikal ini melalui tabiat hariannya yang serupa. Setiap hari, dia bangun pagi untuk menggosok gigi dan mandi. Setelah sarapan, dia terus memandu kenderaannya ke pejabat. Pada waktu tengahari, dia akan keluar makan, kemudian masuk semula ke pejabat untuk meneruskan tugas sebelum pulang tepat pada waktunya.

Sepulangnya di rumah, dia akan bersantai setelah makan malam. Tepat jam 11.00 atau 12.00 malam, dia akan masuk tidur. Pada hari esok, dia akan ulangi apa yang dilalui semalam dengan jayanya. Bukannya susah pun untuk melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali.

Putaran hidupnya yang sebegini dilalui sekurang-kurangnya lima hari seminggu. Dua hari lagi pada hujung minggu, tabiatnya berubah sedikit daripada hari-hari bekerja. Namun, jika dilihat tabiat yang dilaluinya untuk hari-hari hujung minggu, ia juga tak ubah daripada hari-hari hujung minggu sebelumnya.

Sungguh malang golongan berminda kecil ini. Oleh kerana telah mangli dengan kehidupannya yang robotik ini, mereka sendiri tidak pernah rasa yang kehidupan yang dilalui begitu menjemukan. Inilah golongan berminda kecil. Mereka hidup di dalam penjara minda masing-masing. Ia adalah kepompong fikiran yang melahirkan manusia berotak beku.

Kita boleh kenali mereka melalui cara pertuturan. Mereka berkata mengenai apa yang yang ramai orang lain tuturkan. Perbualan mereka dipenuhi basa-basi yang sudah basi. Setiap ayat yang ditutur akan disudahi dengan ha-ha-ha, yang bukannya menggambarkan kegembiraan, sebaliknya secara bawah sedar mentertawakan diri mereka sendiri.

Mereka mempunyai banyak masa. Tetapi masa untuk menceritakan mengenai hal orang lain. Kalau mereka bekerja makan gaji, mereka amat menepati masa. Tetapi hanya masa masuk dan keluar pejabat semata-mata. Jika mereka berniaga, mereka makan gaji dengan perniagaan mereka. Ertinya masuk jam 9.00 dan pulang jam 5.00 juga.

Selain daripada bercakap tentang orang lain, mereka mempunyai modal perbualan daripada sebuah sumber yang popular. Segala-galanya ada di layar kaca. Kisah ketamakan si abang terhadap harta pusaka keluarga, kebiadaban anak terhadap si ibu, keganasan rumah tangga, kecurangan suami, penipuan di dalam perniagaan dan permainan kayu tiga, kesemuanya cerita manusia yang dipandang berat oleh mereka.

Bagaimana pula kita mengenali golongan yang berminda sederhana? Mereka adalah golongan yang suka bercakap tentang isu. Pendek kata isu-isu semasa. Apa yang terbit di akhbar hari ini menjadi topik perbincangan mereka. Sama ada isu itu isu nasional, serantau mahupun antarabangsa, ia akan menjadi bahan perbualan, perbincangan dan perdebatan sesama mereka. Rasa prihatin mereka lebih hebat daripada mereka yang terlibat.


Isu-isu alam sekitar juga menjadi perhatian mereka. Daripada masalah bongkah ais yang mencair, kebakaran hutan, taufan, rebut, tsunami dan peperangan kesemuanya menjadi masalah yang mencabar minda mereka. Dahi mereka berkerut, mata mereka mencerlang, bibir mereka diketap kerana geram bila melihat kapalterbang menggugurkan bom lalu membunuh mereka yang tidak berdosa. Mereka simpati dan juga empati. Malangnya, kesemua itu mereka saksikan melalui TV sambil menggoyang kaki dan mengunyah keropok.

Golongan yang berminda besar pula sukar ditemui kerana tidak ramai yang tampil bercakap mengenai idea. Ramai orang boleh bercakap mengenai masalah polarisasi kaum, tetapi nampaknya tak ramai yang boleh mengutarakan idea-idea untuk melestarikan toleransi di antara kaum? Ramai yang boleh berhujah mengenai peri pentingnya kita kurangkan berpolitik, tetapi tak ramai yang bercakap tentang mengapa kita patut mengurangkan berpolitik? Ramai yang tahu bahaya obesiti, tetapi berapa ramaikah yang berani memperkatakan tentang tubuh yang sasa mahupun ramping kerana berdiet?

Namun, golongan yang berminda besar ini sebenarnya ramai. Kitalah mereka yang berminda besar ini! Kenapa kita tidak sedar akan golongan ini sedangkan mereka adalah kita? Ia adalah kerana, fikiran kita yang besar dan hebat ini telah dikaburi dengan 
herd mentality atau mentaliti ikut-ikutan. Tidak ramai yang berfikiran sebagai pembawa perubahan dan pembaharuan sedangkan inilah golongan yang teramai.

Kita berasa golongan berminda besar ini kecil kerana kita adalah silent majority atau majoriti yang senyap. Sepatutnya kita yang ramai ini menjadi 
the noisy majority atau golongan majoriti yang riuh.

Andainya kita berani bersuara dan tidak malu bertempat, banyak sekali idea-idea kita yang boleh dilahirkan untuk mensejahterakan masyarakat dan dunia. Masalahnya, siapakah di antara kita yang berminda besar untuk memulakan gagasan 
the noisy majority ini?

Azam Tahun Baru...edisi ke 2


Berubah daripada yang tidak bagus kepada yang lebih bagus sebenarnya adalah fitrah manusia yang sentiasa inginkan kebaikan di dalam hidupnya. Kita mahu hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Seandainya kita tidak mahu memperbaiki keadaan diri, kita akan menggelongsor, merudum dan terjelepuk di lopak kehidupan yang sama.
Bagaimana pun, berubah itu sendiri perlu caranya. Kalau tidak kena gaya, maka perubahan yang dilakukan itu hanya sementara. Sama seperti resolusi tahun baru yang telah dilupakan belum pun sampai sebulan ia dinawaitukan.

Terdapat tiga pendekatan dalam melakukan perubahan. Perubahan jenis yang pertama adalah berbentuk evolusi dan yang kedua berbentuk reformasi, sementara yang ketiga dalam bentuk revolusi.

Memutar jam lebih awal 15 minit untuk bangun pagi agar tidak lewat sampai ke pejabat, makan sebelum jam 8.00 malam untuk menjaga kelangsingan tubuh atau menahan amarah ketika memegang stereng kereta umpamanya, adalah di antara perubahan-perubahan kecil yang merupakan evolusi diri.

Ia mudah dilaksanakan kerana kita boleh lakukannya hari ini, malah sekarang juga. Bagaimana pun, kesannya hanya sedikit dan tidak ketara. Malah, orang lain tidak akan nampak akan perubahan ini kerana ia juga tidak akan memberi kesan kepada orang di sekeliling. Ia seperti kaizen dalam istilah Jepun iaitu perubahan yang sedikit tetapi berterusan.

Perubahan dalam bentuk yang kedua pula lebih inovatif. Dan perubahan ini menemukan jawapan melalui pemikiran lateral. Kita bukan sahaja mempercepatkan jam 15 minit lebih awal supaya bangun lebih cepat, tetapi turut tidur lebih awal. Kita bukan sahaja makan sebelum jam 8.00 malam, tetapi mula bersenam. Kita bukan sahaja menahan amarah ketika memandu, tetapi memasang lagu-lagu nasyid di dalam kereta untuk memperoleh lebih ketenangan. Cara ini lebih reformatif kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak.

Kedua-dua perubahan secara evolusi dan reformatif ini boleh diaplikasikan jika kita mahukan perubahan kecil dan sederhana. Bagaimana pun, perubahan dalam bentuk yang ketiga ini adalah perubahan yang revolusioner. Perubahan ini memerlukan satu pendekatan yang jauh berbeza.
Jika perubahan evolusi dan reformatif ini bersumberkan perubahan yang berdasarkan fakta, keadaan dan tabiat yang ada, perubahan jenis revolusi ini membuang terus apa yang ada dan membina yang baru sama sekali! Dalam konsep pembelajaran, perubahan revolusioner ini menuntut seseorang itu untuk unlearn and relearn atau membuang apa yang selama ini dipelajari dan belajar semula ilmu yang telah dipelajari.

Inilah yang dinamakan hijrah! Pengajaran daripada hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah ialah, ia merupakan perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi mental, ia meninggalkan satu kebiasaan untuk membina satu kebiasaan yang lain. Dan daripada segi spiritual, ia memerlukan kekuatan rohani untuk menjayakan sesuatu perubahan itu.

Hijrah adalah perubahan total dengan meninggalkan suasana fizikal , pola pemikiran dan amalan spiritual yang menjadi anutan selama ini. Misalnya, daripada hidup bersama ibu bapa kepada berumahtangga sendiri, daripada makan gaji kepada bekerja sendiri dan daripada menjadi makmum kepada menjadi imam.

Hijrah, atau perubahan revolusioner itu memerdekakan fizikal, mental dan spiritual seseorang. Ia menyerlahkan kehebatan seseorang individu itu. Malah, ia memberi erti kepada maksud kehidupan seseorang individu itu sendiri. Seperti alam semesta yang tiada henti pengembangannya, perubahan diri seseorang itu tidak seharusnya ada noktah dalam garis kehidupannya.