SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Rabu, 6 April 2011

CAKAP BESAR ATAU BERKONGSI RASA...


Bercakap besar dan berkongsi rasa adalah dua perkara yang berbeza. Bercakap besar ialah menyampaikan kejayaan-kejayaan diri dengan wajah riya’, seolah-olah kita sahaja yang boleh mendapat atau mampu melakukan sesuatu sedangkan orang lain tidak boleh. Rasa bangga diri orang yang bercakap besar seumpama seorang kanak-kanak yang berdiri di atas busut seraya mendabik dada seolah-olah dia sudah berada di puncak gunung.

Sedangkan orang yang berkongsi rasa, menceritakan apa yang dialami serta kejayaan yang diperolehi dengan harapan si pendengar dapat mencontohinya. Kita di pihak yang menerima, andainya berfikiran positif, bersangka baik atau husnu dzon, kita akan memperoleh banyak sekali ilmu yang disampaikan. Sebaliknya, andainya kita mempunyai sikap negatif, bersangka buruk, atau suu dzon, maka apa jua kebaikan yang disampaikan akan disambut dengan senyuman sinis kerana memperlekeh apa yang dikongsikan.

Barangkali, oleh kerana bimbang dikatakan sebagai orang yang bercakap besar, maka kita ramai di antara kita lebih senang berdiam diri meskipun kita mengetahui sesuatu lebih daripada orang lain. Kejayaan kita dalam perniagaan, pendidikan anak hingga berjaya dalam kerjaya, pengurusan kewangan, teknik belajar, malah rahsia kita membuat teh tarik yang sedap adalah di antara kebaikan-kebaikan yang seharusnya dikongsikan dengan orang lain.

Kita mesti berani dan tidak segan untuk berkongsi rasa. Jangan sekali-kali kita berasa bimbang dianggap bercakap besar kerana yang utama adalah berkongsi ilmu. Tentu sekali dalam sepuluh orang yang mendengar perkongsian rasa kita, akan ada seorang dua yang mencemuh. Tetapi itu tidak harus mematahkan semangat kita untuk menceritakan kebaikan pengalaman dan pengajaran yang kita lalui.

Apa jua kebaikan yang kita peroleh itu tidak harus disembunyikan dari pengetahuan orang lain. Lagi ramai orang lain tahu mengenai kebaikan yang kita kongsikan, ia lebih bagus. Malah, daripada sudut agama pun, kita dituntut untuk menyebar kebaikan yang dialami sebagai tanda syukur kita terhadap nikmat Allah s.w.t.

Wa amma bi ni’mati rabbika fahaddith. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (zahirkan sebagai tanda bersyukur kepadaNya). Surah Ad-duha, ayat 11 jelas menggalakkan kita untuk berkongsi rasa. Itu jua cara untuk memperoleh pahala. Kerana itu, jangan rasa malu untuk menceritakan kejayaan-kejayaan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan