DUNIA tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Hanya peribadi salih boleh menghalang perbuatan maksiat kepada Allah seperti tidak amanah, tidak bertanggungjawab ataupun tidak menghormati hak orang lain.
Pembentukan dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki Allah dan disebut dalam al-Quran ialah sahsiah salih dari segi tutur kata dan perbuatan. Al-Quran menggariskan prinsip sama sejak mula diikuti oleh umat Islam.
Umat Islam perlu membina peribadi teguh dalam dunia tanpa sempadan ini. Jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepemimpinan. Ada bimbingan yang kita harapkan daripada orang yang arif dalam apa juga bidang.
Untuk membina personaliti Muslim dihormati ialah dengan akidah yang bersih. Muslim perlu mempunyai ikatan kuat dengan Allah supaya mereka percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat.
Muslim juga akan yakin dan cekal dengan ujian Allah jika mereka mempunyai akidah yang bersih serta bersedia menghadapi cabaran mendatang. Semua ini dapat dicapai melalui hubungan rapat dengan Allah melalui ibadat hakiki yang dilaksanakan.
Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan jalan tunduk, tetapi keikhlasan beribadah serta tidak berbangga melakukan perbuatan baik atau mempunyai niat sebaliknya.
Peribadi salih termasuk juga kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada pertolongan orang. Kesihatan yang baik, memungkinkan umat Islam memenuhi amanah dengan baik.
Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir yang intelek. Antara sifat Rasulullah ialah cerdas dan tangkas membuat keputusan disebabkan keintelektualan Baginda yang tinggi. Jika direnungkan, setiap apa akan dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan berfikir. Sebab itu individu Muslim cemerlang ialah yang bijaksana dan bertimbang rasa.
Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran.”
Satu aspek lain tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat. Sebagai manusia, kita mempunyai kecenderungan terjebak hasutan nafsu dan daya juang tinggi membolehkan kita melawan daripada melakukan maksiat.
Setiap Muslim juga perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan menepati masa dan tidak membazirkan masa. Allah banyak mengingatkan manusia supaya menjaga masa 24 jam yang diperuntukkan sehari semalam.
Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional selain tekun, bijak berinteraksi, berintegriti dan amanah. Umat Islam sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada bangsa lain kerana Islam adalah agama sempurna yang mendidik umatnya ke arah kebaikan.
Muslim harus mempunyai kuasa supaya peribadi mereka tidak terhalang oleh penafian atau doktrin kuasa lain yang membantutkan kegemilangan tamadun Islam dikecapi berabad lalu.
Akhirnya, setiap Muslim mesti memastikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik yang dilakukan perlulah saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya.
Dunia ini akan gelap gelita jika tidak ada lagi umat Islam kerana umat Islam adalah bangsa yang terpilih dan sebab itulah Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan