SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Rabu, 17 November 2010

PERSEDIAAN SEBELUM PEPERIKSAAN ...SPM


PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penting kerana ia bakal menjadi satu pengukur aras masa depan seseorang remaja.
Ini kerana pelbagai urusan seperti permohonan kemasukan ke universiti mahupun untuk mendapatkan kerja, sijil itu adalah menjadi keutamaan untuk dinilai.
Tanpa sijil itu, masa depan remaja mungkin akan gelap dan menyebabkan kehidupan mereka terkandas di satu tahap yang mungkin akan kekal buat selama-lamanya.
Atas dasar itu, persediaan rapi diperlukan untuk memastikan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dan tidak hanya sekadar membaca semata-mata.
Pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, terdapat beberapa elemen yang perlu diberikan perhatian oleh pelajar menjelang peperiksaan penting itu.
Menurut Tengku Asmadi, paling utama calon perlu memberikan penekanan terhadap persediaan seperti fizikal, mental, emosi dan rohani.
Katanya, aspek fizikal adalah paling perlu diberikan penekanan kerana pelajar memerlukan kesihatan yang baik bermula dari membuat persediaan mengulang kaji sehinggalah ke dewan peperiksaan kelak.
Katanya, aspek fizikal yang perlu diberikan penekanan adalah seperti pemakanan, tidur yang cukup, aktiviti riadah dan keselamatan diri.
Tengku Asmadi berkata, pemakanan seimbang penting kerana ia bakal membantu pelajar terus cergas dan bertenaga sebelum dan semasa mengambil peperiksaan.
“Sebaik-baiknya perlu mengambil banyak makanan seperti kurma, kismis dan makanan bijiran dan susu serta membuang terus tabiat pemakanan yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pelajar juga perlu sentiasa melatih diri untuk sentiasa bangun dan tidur awal sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum peperiksaan itu supaya pelajar terbiasa dengan keadaan itu ditambah dengan aktiviti riadah yang boleh membantu pelajar sentiasa cergas.
“Ironinya tidur awal adalah supaya pelajar mendapat rehat yang secukupnya setelah menjalani pelbagai aktiviti dan bangun awal kerana tidur berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.
“Apabila bangun awal gunakan masa itu untuk bersolat dan mengimbas apa yang dipelajari hari sebelumnya kerana pada awal pagi otak akan lebih mudah menyerap maklumat,” katanya.
Tengku Asmadi juga turut menyarankan pelajar memberi perhatian mengenai aspek emosi dengan tidak terlalu mengikut perasaan dalam melakukan sesuatu dan bimbang dengan peperiksaan yang bakal menjelma.
Apa yang perlu dilakukan oleh pelajar adalah dengan sentiasa berfikiran positif dan jangan membelenggu fikiran dengan kegagalan kerana ia akan memberi kesan kepada tumpuan terhadap pelajaran.
“Berfikiran positif tidak kira kecil atau besar kejayaan itu tidak penting. Yang paling penting kita sentiasa berfikiran positif kerana ia akan memberi kesan yang baik ketika belajar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan terutamanya pelajar perempuan supaya tidak terlibat dalam cinta monyet.
Katanya, pengalaman dalam bidang motivasi telah menemukannya dengan pelbagai kes berkaitan dengan cinta monyet dan rata-rata daripada mereka telah menghancurkan masa depan mereka.
“Biasalah remaja, bila terperangkap dalam cinta monyet ini mereka akan bertindak di luar batasan dengan jiwa mereka yang memberontak dan akhirnya membawa kehancuran kepada masa depan mereka,” katanya.

Tengku Asmadi berkata, antara elemen lain yang perlu diberi perhatian sebelum peperiksaan adalah mengelak daripada semua konflik terutama dengan guru dan ibu bapa.
Katanya, ia penting kerana guru dan ibu bapa adalah komponen penting dalam kejayaan seseorang pelajar dan restu daripada mereka adalah penting sebelum menduduki peperiksaan.
Sementara itu, bagi yang beragama Islam, beliau berkata aspek kerohanian penting dengan menjaga solat dan sentiasa berdoa kepada Tuhan bagi diberkati dan dipermudahkan segala urusan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan.
“Puasa sunat, berzikir dan bangun pada malam untuk melakukan sembahyang hajat adalah disarankan dan ajak ahli keluarga lain untuk bersama-sama melakukan bersama-sama.
“Ia juga dapat mengeratkan silaturahim dengan keluarga,” katanya.
Beliau juga turut meminta semua pelajar memaafkan semua orang yang telah melakukan kesalahan kepada diri mereka dan memohon maaf kepada orang lain terutama ibu bapa dan guru.
“Restu daripada ibu bapa amat penting dan bukan sekadar meminta maaf, tetapi berhadapan dengan setiap guru satu persatu-satu.
“Nyatakan penyesalan dan minta semua halalkan ilmu dan makan minum serta meminta mereka mendoakan kejayaan kita ketika menghadapi peperiksaan,” katanya.
Jangan desak anak-anak
Sementara itu, Tengku Asmadi berkata, ibu bapa tidak seharusnya obses dengan keputusan cemerlang dan menekan anak-anak mereka demi kepuasan diri yang akhirnya akan memberi kesan kepada anak mereka.
Ini kerana katanya, ibu bapa memainkan peranan penting kerana kebiasaannya anak-anak akan melihat dan mengambil ibu bapa mereka sebagai contoh dalam menempa kejayaan.
“Anak-anak akan melihat ibu bapa mereka sebagai idola. Permintaan ibu bapa tidak akan dipandang rendah dan jika permintaan itu melampaui kemampuan mereka dikhuatiri akan memberi tekanan kepada mereka,” katanya.
Katanya, paling penting ibu bapa perlu memberi dorongan supaya mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan menghargai usaha mereka walaupun keputusan yang dicapai tidak mengikut kehendak mereka.
“Anak-anak apabila didesak akan menambahkan ketakutan dan kebimbangan dalam diri mereka.
“Menerima kemampuan dan sentiasa memberi galakan adalah lebih mulia dan itu juga adalah satu kejayaan,” katanya.
Sebagai alternatif katanya, ibu bapa disarankan mendoakan kesejahteraan dan kejayaan anak-anak mereka dengan memberitahu apa yang didoakan untuk mereka supaya anak-anak lebih menghargai apa yang dilakukan.
“Anak-anak akan lebih terharu dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Jangan kita paksa mereka, biar mereka usaha sendiri cuma beri galakan kepada mereka,” ujarnya.
Jelasnya, apa yang bakal mereka peroleh dalam keputusan peperiksaan nanti adalah bukti usaha mereka dan ibu bapa harus terima dan terus memberi galakkan kepada mereka untuk terus berjaya.
“Tetapi jangan sesekali memaksa mereka kerana akhirnya anak-anak itu sendiri yang akan memilih apa yang terbaik untuk diri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan