SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Rabu, 17 Februari 2010

TAZKIRAH MURID: TAWAKAL SELEPAS PELAKSANAAN RAPI

KITA merancang tetapi Allah menentukan. Begitulah lumrah kehidupan sebenar dan tidak hanya menyerahkan 100 peratus melalui doa tanpa melakukan sebarang tindakan atau usaha.Kita disuruh berikhtiar tetapi yang menentukan adalah Allah. Selepas merancang, segala ketentuan itu mesti diterima dengan hati terbuka.

Itulah yang dinamakan tawakal. Sebenarnya tawakal terletak selepas seseorang melakukan perancangan serta berusaha kemudian disusuli dengan bertawakal.Umat Islam dulu cemerlang kerana kehebatan mereka merancang dan berfikiran ke hadapan. Rasulullah sendiri amat mementingkan perancangan rapi sebelum melakukan segala pekerjaan. Misalnya, sebaik tiba di Madinah, baginda segera meletakkan dasar bagi membentuk pemerintahan Islam pertama di dunia.

Ketika itu baginda mula membina masjid sebagai sebagai tempat beribadat, bermesyuarat, tempat pertemuan seluruh umat Islam selain menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar. Selepas itu, baginda mengadakan perjanjian dengan golongan Yahudi dengan meletakkan dasar perundangan Kota Madinah supaya setiap orang mengetahui kedudukan dan hak mereka dalam masyarakat.
Sama juga yang dilakukan Rasulullah pada malam hijrah, malam Aqabah dan peristiwa di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Semua itu membuktikan Islam amat mementingkan perancangan yang rapi.
Al-Quran sejak berabad lagi menggalakkan umat manusia bekerja menurut perancangan. Contohnya, al-Quran menceritakan utusan Raja Mesir datang kepada Nabi Yusuf di penjara meminta baginda mentakwilkan mimpi. Dia berkata; "Yusuf, wahai orang yang amat dipercayai, terangkan kepada kami (mimpi) tujuh lembu betina yang gemuk dimakan oleh tujuh lembu betina yang kurus; dan tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh lainnya yang kering (terangkanlah takwil mimpi itu) agar aku kembali kepada orang-orang (yang mengutus itu), semoga mereka akan mengetahuinya." (Surah Yusuf, ayat 46).

Apabila berdepan dengan tugas itu, Nabi Yusuf tidak hanya mentakwilkan mimpi saja, bahkan baginda turut memberi petunjuk supaya membuat perancangan bagi mengatasi kesukaran dan bahaya kelaparan yang diramalkan akan menimpa Mesir. Baginda mencadangkan beberapa langkah positif yang perlu diambil bagi menghadapi kesukaran itu. Al-Sayyid Qutb dalam kitabnya 'Tafsir Fi Zilal al-Quran mengatakan, Raja (Mesir) meminta huraian erti mimpinya tetapi pegawai kerajaan dan ahli nujum tidak sanggup menghuraikan erti mimpi itu kerana menganggap ia petanda buruk bakal berlaku.Sebaliknya, bagi menunaikan kehendak raja berkenaan, mereka memperlihatkan apa saja yang dapat menyenangkan raja dan menyembunyikan perkara yang menyedihkan.Mereka menghindari dari berbincang mengenai mimpi itu dengan mengatakan mimpi itu kosong dan tidak mempunyai erti.

Sikap Nabi Yusuf berlainan kerana baginda tetap mentakwilkan mimpi raja itu kemudian menasihatinya dengan cadangan serta langkah sesuai bagi mengatasi petanda buruk yang diramalkan itu.Antara langkah-langkah yang dicadangkan Nabi Yusuf iaitu menggiatkan lagi pekerjaan yang sedang dilakukan serta menetapkan jangka waktu diperlukan.Kedua, perlu bersungguh-sungguh melakukan kegiatan pertanian dalam jangka masa tertentu.
Ketiga, berusaha meningkatkan pengeluaran selain bekerja keras terus menerus. Berdasarkan cadangan itu, betapa pentingnya cara penyimpanan yang baik untuk menjaga keutuhan hasil bumi dan kepentingan menyimpan.Cara hidup berekonomi, tidak boros dan tidak berlebih-lebihan kerana Islam adalah agama yang mementingkan prinsip keseimbangan, menolak sifat bakhil dan mengharamkan pembaziran atau menggunakan harta untuk perkara yang tidak bermanfaat.

Dalam perancangan mengatasi kesulitan yang ditunjukkan Nabi Yusuf, terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian iaitu berhati-hati dalam membelanjakan harta dan tidak melakukan pembaziran.
Perbelanjaan ditentukan kepada keperluan utama seperti dikatakan Nabi Yusuf, "Kecuali sedikit untuk kamu makan." (Surah Yusuf, ayat 47).Baginda memberi petunjuk mengenai keharusan menggunakan harta simpanan dengan cara sebaik-baiknya, terutama ketika menghadapi kesulitan.Hasil pemikiran dan perancangan Nabi Yusuf itu adalah berdasarkan petunjuk Allah kepadanya, maka umatnya terhindar daripada bencana kelaparan dan dapat mengatasi malapetaka besar. Demikian ilmu perancangan yang tercatat di dalam al-Quran untuk kepentingan umat manusia umumnya dan kesejahteraan umat Islam khususnya.Oleh itu, Islam bukan agama yang mengajar orang berfikir secara membuta tuli atau bertawakal tanpa alasan (bukan bertawakal dalam erti kata sebenar). Islam adalah agama yang mengajar manusia memerhati dan mempelajari dengan teliti terutama perkara berkaitan soal pengeluaran, penggunaan dan keperluan material lain dalam kehidupan. Sesuatu pekerjaan atau projek, sama ada besar atau kecil tidak berjaya dilaksanakan dan tidak terjamin pencapaiannya sekiranya dilakukan tanpa perancangan rapi.
Semua undang-undang Islam sama ada yang bersifat ibadat atau muamalat, mempunyai dasar dan kaedah bagi dipraktikkan dalam kehidupan kita.

Jika ada suara yang mengatakan Islam tidak mementingkan perancangan sama sekali berlawanan dengan anjuran al-Quran dan tindakan yang dilakukan Rasulullah.
sumber daripada: Ustaz Mohd Zawawi Yusof

Tiada ulasan:

Catat Ulasan