SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Khamis, 30 Disember 2010

Azam tahun Baru

Dan sesebuah azam yang ingin dilaksanakan itu mesti lahir daripada kesedaran dan keinsafan untuk memperbaiki diri. Bukan dilakukan kerana apa-apa ‘sempena’, lebih-lebih lagi sempena tahun baru. Ini adalah kerana azam yang bersandarkan ‘sempena’ itu akan mudah rebah dan pudar ditelan waktu.

Misalnya, azam untuk berhenti merokok dilakukan kerana doktor menasihatkan kita berhenti merokok kerana dikhuatiri mengalami radang paru-paru. Azam belajar bersungguh-sungguh diniatkan kerana takut gagal dan menanggung malu. Atau azam untuk belajar memandu dihasratkan kerana kita ingin membeli kereta tidak lama lagi.

Tidak perlu berazam sempena tahun baru melainkan kerana kita benar-benar ingin melakukannya untuk kebaikan diri sendiri. Justeru itu, mulai tahun 2010, berazamlah untuk tidak berazam tahun baru lagi. Sebaliknya berazamlah kerana kita benar-benar berkeinginan untuk mencapai sesuatu yang diinginkan.

Dengan cara itu, kita boleh sahaja berazam pada bila-bila masa. Azam yang dirancang itu pula boleh dilakukan satu demi satu dan tidak panjang senarainya seperti yang dilakukan oleh berjuta-juta manusia lain di muka bumi ini.


Rabu, 17 November 2010

IBADAT QURBAN ANTARA SATU KAEDAH UMAT ISLAM TEBUS DOSA



Hikmah amalan sembelih haiwan bantu individu kikis sikap bakhil, wujudkan kerjasama
KITA kini melangkah ke bulan terakhir dalam takwim hijrah iaitu Zulhijjah. Pada bulan ini Allah SWT menganugerahkan kepada kita satu lagi hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Korban atau Aidiladha.
Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Korban itu, umat Islam yang berkemampuan dituntut melakukan ibadat korban.Ibadat korban bermaksud menyembelih binatang tertentu seperti unta, kerbau, lembu atau kambing pada hari ke-10, ke-11, ke-12 atau ke-13 Zulhijjah. Islam mensyariatkan ibadat korban berkenaan sebagai antara ibadat mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Di samping itu, ia mengingatkan kita terhadap kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai satu ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat.
Banyak hadis menekankan keutamaan ibadat korban ini. Antaranya ialah hadis diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tiada sesuatu amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada menumpahkan darah (ibadat korban). Bahawasanya ia (binatang yang dikorbankan itu) datang pada Hari Kiamat dengan tanduk, bulu dan kukunya dan bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah SWT sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh kerana itu hendaklah kamu berkorban dengan hati yang bersih.” (Riwayat al-Tarmizi)
Melalui hadis ini jelas bahawa korban adalah ibadat atau amalan yang disukai Allah SWT. Maka sudah tentu ia mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT pada Hari Kiamat.
Justeru, melakukan ibadat korban menambah lagi amalan kebajikan yang kita lakukan, di samping menjadi penebus dosa kita.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosamu yang lalu.” (Riwayat al-Bazzar dan Ibn Hibban)
Dipetik daripada Kitab Sabilal Muhtadin Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Perbesarkanlah korban kamu, kerana ia menjadi tungganganmu di atas titian siratulmustakim pada Hari Kiamat nanti.”
Begitulah besarnya ganjaran diberikan kepada orang yang melakukan korban. Allah SWT menjanjikan kebaikan kepada orang yang melakukannya dan ia menjadikan binatang sembelihannya itu sebagai tunggangan untuk meniti al-Sirat pada hari akhirat kelak.
Walaupun pada zahirnya ia cuma mengorbankan binatang sembelihan, jika dikaji dengan teliti, ia adalah ujian Allah SWT dalam melatih kita supaya sentiasa bersedia berkorban jiwa dan tenaga demi menegakkan agama Allah SWT di muka bumi ini.
Selain itu, ia juga ujian bagi melihat sejauh mana kita mensyukuri nikmat kemewahan yang dikurniakan Allah SWT.
Betapa Rasulullah SAW ketika hayat baginda dan juga sahabat sanggup mengorbankan harta, menggadai nyawa semata-mata mendaulatkan agama, inikan pula amalan yang cuma mengorbankan secebis harta demi mensyukuri nikmat yang diterima.
Ingatlah setiap pengorbanan yang kita lakukan hendaklah disertakan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Seandainya ibadat korban yang kita lakukan dicemari dengan sifat riak, takbur, membangga diri dan menunjuk-nunjuk kemampuan, maka tertutuplah rahmat Allah SWT dan nescaya sia-sia ibadat korban itu.
Rasulullah SAW amat menyukai amalan berkorban sehinggakan baginda sentiasa menyarankan sahabat melakukan ibadat korban pada setiap Hari Raya Korban.
Justeru, amalan korban itu bukan saja mempunyai kelebihan yang besar, bahkan dilihat dari sudut kerohanian, ia juga dapat mengikis sifat bakhil untuk membelanjakan harta ke arah kebaikan sekali gus membantu mereka yang kurang bernasib baik dengan memberi kegembiraan dan kesenangan dalam hati orang yang menerima terutama kepada golongan fakir miskin bagi turut merasai keriangan hari raya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami menundukkan unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah al-Hajj ayat 36)
Melalui amalan ibadat korban ini jelas terbukti ia dapat mewujudkan semangat kerjasama serta saling bantu-membantu di antara semua pihak, sama ada pihak yang melakukan korban mahupun pihak yang menerima.

CANTIKNYA LELAKI .... HEBATNYA WANITA




Nak tahu dimana Kecantikan Lelaki???? 
Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik adalah:- 
1) Lelaki yang mampu mengalirkan air mata untuk ingatan. 
2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran. 
3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun. 
4) Lelaki yang tenang dan lapang dada. 
5) Lelaki yang sentiasa berbaik sangka. 
6) Lelaki yang tak pernah putus asa. 
Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki… 
Dan dimana Kegagahan Wanita??? 
Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan. Perempuan yang gagah adalah:- 
1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan. 
2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan. 
3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan. 
4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar di penuhi segala keinginan. 
Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sebarkanlah ajaranku walaupun satu ayat ” 
Surah Al-Ahzab : Ayat 71 
“Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.”

PERSEDIAAN SEBELUM PEPERIKSAAN ...SPM


PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penting kerana ia bakal menjadi satu pengukur aras masa depan seseorang remaja.
Ini kerana pelbagai urusan seperti permohonan kemasukan ke universiti mahupun untuk mendapatkan kerja, sijil itu adalah menjadi keutamaan untuk dinilai.
Tanpa sijil itu, masa depan remaja mungkin akan gelap dan menyebabkan kehidupan mereka terkandas di satu tahap yang mungkin akan kekal buat selama-lamanya.
Atas dasar itu, persediaan rapi diperlukan untuk memastikan pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dan tidak hanya sekadar membaca semata-mata.
Pakar motivasi, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, terdapat beberapa elemen yang perlu diberikan perhatian oleh pelajar menjelang peperiksaan penting itu.
Menurut Tengku Asmadi, paling utama calon perlu memberikan penekanan terhadap persediaan seperti fizikal, mental, emosi dan rohani.
Katanya, aspek fizikal adalah paling perlu diberikan penekanan kerana pelajar memerlukan kesihatan yang baik bermula dari membuat persediaan mengulang kaji sehinggalah ke dewan peperiksaan kelak.
Katanya, aspek fizikal yang perlu diberikan penekanan adalah seperti pemakanan, tidur yang cukup, aktiviti riadah dan keselamatan diri.
Tengku Asmadi berkata, pemakanan seimbang penting kerana ia bakal membantu pelajar terus cergas dan bertenaga sebelum dan semasa mengambil peperiksaan.
“Sebaik-baiknya perlu mengambil banyak makanan seperti kurma, kismis dan makanan bijiran dan susu serta membuang terus tabiat pemakanan yang tidak sihat,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pelajar juga perlu sentiasa melatih diri untuk sentiasa bangun dan tidur awal sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum peperiksaan itu supaya pelajar terbiasa dengan keadaan itu ditambah dengan aktiviti riadah yang boleh membantu pelajar sentiasa cergas.
“Ironinya tidur awal adalah supaya pelajar mendapat rehat yang secukupnya setelah menjalani pelbagai aktiviti dan bangun awal kerana tidur berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.
“Apabila bangun awal gunakan masa itu untuk bersolat dan mengimbas apa yang dipelajari hari sebelumnya kerana pada awal pagi otak akan lebih mudah menyerap maklumat,” katanya.
Tengku Asmadi juga turut menyarankan pelajar memberi perhatian mengenai aspek emosi dengan tidak terlalu mengikut perasaan dalam melakukan sesuatu dan bimbang dengan peperiksaan yang bakal menjelma.
Apa yang perlu dilakukan oleh pelajar adalah dengan sentiasa berfikiran positif dan jangan membelenggu fikiran dengan kegagalan kerana ia akan memberi kesan kepada tumpuan terhadap pelajaran.
“Berfikiran positif tidak kira kecil atau besar kejayaan itu tidak penting. Yang paling penting kita sentiasa berfikiran positif kerana ia akan memberi kesan yang baik ketika belajar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan terutamanya pelajar perempuan supaya tidak terlibat dalam cinta monyet.
Katanya, pengalaman dalam bidang motivasi telah menemukannya dengan pelbagai kes berkaitan dengan cinta monyet dan rata-rata daripada mereka telah menghancurkan masa depan mereka.
“Biasalah remaja, bila terperangkap dalam cinta monyet ini mereka akan bertindak di luar batasan dengan jiwa mereka yang memberontak dan akhirnya membawa kehancuran kepada masa depan mereka,” katanya.

Tengku Asmadi berkata, antara elemen lain yang perlu diberi perhatian sebelum peperiksaan adalah mengelak daripada semua konflik terutama dengan guru dan ibu bapa.
Katanya, ia penting kerana guru dan ibu bapa adalah komponen penting dalam kejayaan seseorang pelajar dan restu daripada mereka adalah penting sebelum menduduki peperiksaan.
Sementara itu, bagi yang beragama Islam, beliau berkata aspek kerohanian penting dengan menjaga solat dan sentiasa berdoa kepada Tuhan bagi diberkati dan dipermudahkan segala urusan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan.
“Puasa sunat, berzikir dan bangun pada malam untuk melakukan sembahyang hajat adalah disarankan dan ajak ahli keluarga lain untuk bersama-sama melakukan bersama-sama.
“Ia juga dapat mengeratkan silaturahim dengan keluarga,” katanya.
Beliau juga turut meminta semua pelajar memaafkan semua orang yang telah melakukan kesalahan kepada diri mereka dan memohon maaf kepada orang lain terutama ibu bapa dan guru.
“Restu daripada ibu bapa amat penting dan bukan sekadar meminta maaf, tetapi berhadapan dengan setiap guru satu persatu-satu.
“Nyatakan penyesalan dan minta semua halalkan ilmu dan makan minum serta meminta mereka mendoakan kejayaan kita ketika menghadapi peperiksaan,” katanya.
Jangan desak anak-anak
Sementara itu, Tengku Asmadi berkata, ibu bapa tidak seharusnya obses dengan keputusan cemerlang dan menekan anak-anak mereka demi kepuasan diri yang akhirnya akan memberi kesan kepada anak mereka.
Ini kerana katanya, ibu bapa memainkan peranan penting kerana kebiasaannya anak-anak akan melihat dan mengambil ibu bapa mereka sebagai contoh dalam menempa kejayaan.
“Anak-anak akan melihat ibu bapa mereka sebagai idola. Permintaan ibu bapa tidak akan dipandang rendah dan jika permintaan itu melampaui kemampuan mereka dikhuatiri akan memberi tekanan kepada mereka,” katanya.
Katanya, paling penting ibu bapa perlu memberi dorongan supaya mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan menghargai usaha mereka walaupun keputusan yang dicapai tidak mengikut kehendak mereka.
“Anak-anak apabila didesak akan menambahkan ketakutan dan kebimbangan dalam diri mereka.
“Menerima kemampuan dan sentiasa memberi galakan adalah lebih mulia dan itu juga adalah satu kejayaan,” katanya.
Sebagai alternatif katanya, ibu bapa disarankan mendoakan kesejahteraan dan kejayaan anak-anak mereka dengan memberitahu apa yang didoakan untuk mereka supaya anak-anak lebih menghargai apa yang dilakukan.
“Anak-anak akan lebih terharu dan akan belajar dengan bersungguh-sungguh. Jangan kita paksa mereka, biar mereka usaha sendiri cuma beri galakan kepada mereka,” ujarnya.
Jelasnya, apa yang bakal mereka peroleh dalam keputusan peperiksaan nanti adalah bukti usaha mereka dan ibu bapa harus terima dan terus memberi galakkan kepada mereka untuk terus berjaya.
“Tetapi jangan sesekali memaksa mereka kerana akhirnya anak-anak itu sendiri yang akan memilih apa yang terbaik untuk diri,” katanya.

KISAH SEMUT,LABAH-LABAH DAN LEBAH....Sekadar Renungan

Jika anda diberi pilihan untuk menjadi semut, labah-labah atau lebah, manakah yang akan anda pilih? Orang yang rajin bekerja akan memilih menjadi semut, sebab melambangkan kerajinan, iltizam, kerjasama, kesatuan, hidup bermasyarakat dan sentiasa aktif.

Orang yang merasakan dirinya bijaksana akan memilih menjadi labah-labah sebab pada anggapannya labah-labah amat cerdik. Dia membina sarang sekali sahaja tetapi mampu duduk senang dan tetap mendapat makan selamanya.

Manakala orang yang merasakan hidup perlu berjasa akan memilih menjadi lebah. Pada anggapannya lebah sangat rajin, cerdik, juga berkuasa. Sengatan lebah boleh mematikan.

Apakah pilihan anda? 

Sebenarnya semua pilihan adalah betul. Setiap sesuatu ada kelebihan dan keistimewaan juga kekurangan-kekurang an tertentu. Mengapa saya berkata begitu? Sebabnya, ketiga-tiga binatang kecil ini disebut dalam Al-Quran malah menjadi nama surah. Semut dari Surah An-Naml, labah-labah dari Surah Al-Ankabut dan lebah dari Surah An-Nahl.
Itu menunjukkan ketiga-tiga binatang kecil ini sangat istimewa, penting lagi contoh-contoh terbaik untuk manusia. Namun, jika disuruh memilih satu sahaja dan soalan itu ditujukan kepada saya, saya akan menilai sebagaimana berikut:

Semut. Kerjanya menghimpun makanan tanpa henti. Siang malam pagi petang dia berusaha tanpa rehat. Belum pernah saya melihat seekor semut terbaring keletihan. Dia hanya diusung oleh teman-temannya apabila dia mengalami kesakitan ataupun setelah mati. Selebihnya ia akan bekerja, bekerja dan bekerja. Tahukah anda, semut boleh menghimpun makanan untuk bekalan yang amat lama sedangkan usianya tidaklah lebih lama daripada banyaknya bekalan makanan yang boleh dihimpunnya itu. Motif kehidupan semut ialah menghimpun sebanyak-banyak makanan, seolah-olah dia tidak mati dan hidup selama-lamanya. Alangkah tamaknya sang semut hingga kadangkala sanggup memikul sesuatu yang melebihi saiz badannya sendiri. Sedangkan nyata dia sendiri tidak sanggup memakan makanan itu hingga selesai.

Labah-labah. Dalam ayat 41 Surah Al-Ankabut disebut tentang sarang labah-labah sebagai tempat yang paling rapuh. Ia bukan tempat yang aman. Apa pun yang berlindung di sana akan binasa. Bahkan jantannya disergapnya untuk dihabiskan oleh betinanya. Telur-telurnya yang menetas saling berdesakan hingga saling memusnahkan.

Lebah. Lebah memiliki naluri yang dalam bahasa Al-Qur’an disebut, marhumnya, “Atas perintah TUHAN ia memilih gunung dan pohon-pohon sebagai tempat tinggal.” [An-Nahl,16: 68]. Lebah membina sarang berbentuk segi enam bukannya lima atau empat agar efisen dalam penggunaan ruang. Makanannya suci, bersih dan istimewa daripada serbuk sari bunga. Lebah tidak mengumpul makanan, sebaliknya menghasilkan lilin dan madu yang sangat bermanfaat kepada manusia. Lebah sangat berdisiplin, mengenal pembahagiaan kerja, tidak cerewet, tidak letih melakukan kerjanya. Demi kesucian dan manfaat sarang yang dibina, segala yang tidak berguna disingkirkan. Hasilnya sarang lebah menjadi pusat pengumpulan madu. Lebah tidak mengganggu kecuali jika diganggu. Bahkan sengatannya pun di samping amat berbisa juga boleh menjadi ubat. Ini dibuktikan dalam salah satu rancangan yang memaparkan kisah-kisah pelik tetapi benar terbitan Amerika Syarikat.

Jadi, apakah pilihan saya? Saya memilih ketiga-tiganya sebab ketiga-tiganya mempunyai keistimewaan- keistimewaan tertentu. Psikologinya saya ingin menjadi semut dengan alasan mahu bekerja keras tanpa memikirkan soal remeh-temeh dan politik-politik tertentu. Namun, saya tidak mahu mengambil sikap bodohnya. Tahukah anda sembut amat bodoh meskipun amat rajin.

Jika ada seekor semut terjumpa seketul gula misalnya, dia akan segera pulang memberitahu rakan-rakannya. Lalu dia akan mengikut jalan yang sama yang digunakannya sehingga seketul gula itu ditemuinya kembali. Dia dan rakan-rakan akan menggunakan laluan yang sama untuk kembali ke situ dan begitulah seterusnya hinggalah makanan itu habis. Kemudian seluruh suku sakat dan kaum kerabatnya akan mengikut laluan yang sama juga walaupun ada jalan pintas yang lebih dekat. Saya juga akan mengambil sikap labah-labah yang smart itu. Dia membina sarang dan duduk senang sepanjang masa. Konsepnya seperti bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian. Susah membina sarang berbaloi untuk hidup senang. Hidup memang perlu smart. Hanya orang smart akan dapat smart living melalui smart earning.

Kaedahnya seperti menanam pokok pisang; menanam sekali makan selamanya. Samalah juga seperti menulis buku; menulis sekali tapi memunggut hasilnya sepanjang masa.

Dengan mengambil sikap lebah, tentunya saya mahu menjadi seseorang yang diperlukan masyarakat dengan memberikan sebanyak-banyak jasa. Bijaknya lebah boleh membina sarang segi enam yang tepat ukurannya. Tidak pernah kita lihat indung lebah ada yang besar ada yang kecil. Ia benar-benar seperti manusia yang pandai matematik dan sains atau seperti manusia yang lebih banyak menggunakan otak kirinya.

Meskipun hebat segala segi, lebah boleh menyerang balik jika terancam. Sikap ini turut diperlukan sebab untuk membina kejayaan ada kalanya kita terpaksa bertindak untuk mengekalkan matlamat serta kedudukan daripada diganggu. Apabila umat Islam mula diperangi maka ALLAH memerintahkan Nabi s.a.w. menyerang balik. Maka hukum berperang dalam keadaan ini pun jelas.

Namun, jika soalan yang asal ditanyakan lagi dan disuruh pilih satu sahaja, apakah pilihan yang terbaik? Semut menghimpun harta, labah-labah pula ingin hidup senang atas kesusahan orang lain manakala lebah berkhidmat kepada pihak lain. Maka, pilihan yang terbaik ialah lebah, lantaran Nabi s.a.w. pernah mengibaratkan seorang Mukmin itu sebagai lebah.

“Tidak makan kecuali yang baik-baik, tidak menghasilkan kecuali yang bermanfaat dan jika menimpa sesuatu tidak merusak dan tidak pula memecahkannya.” Itulah lebah.

WARNA PERSAHABATAN...SEKADAR RENUNGAN

Di suatu masa warna-warna dunia mulai bertengkar. Semua menganggap dirinyalah yang terbaik yang paling penting yang paling bermanfaat yang paling disukai
HIJAU berkata:"Jelas akulah yang terpenting. Aku adalah pertanda kehidupan dan harapan.
Aku dipilih untuk mewarnai rerumputan, pepohonan dan dedaunan.
Tanpa aku, semua haiwan akan mati.

BIRU menyampuk:
"Kamu hanya berpikir tentang bumi,pertimbangkanlah langit dan samudra luas.
Airlah yang menjadi dasar kehidupan dan awan mengambil kekuatan dari kedalaman lautan.
Langit memberikan ruang dan kedamaian dan ketenangan. Tanpa kedamaian, kamu semua tidak akan menjadi apa-apa"


KUNING menjerit:
"Korang ni serius ke? Aku membawa tawa, kesenangan,ceria dan kehangatan bagi dunia. Matahari berwarna kuning, dan bintang-bintang berwarna kuning. Setiap kali kau melihat bunga matahari, seluruh dunia mulai tersenyum. Tanpa aku, dunia tidak ada kesenangan."


ORANGE menyusul dengan meniupkan trompetnya:
"Aku adalah warna kesihatan dan kekuatan. Aku jarang, tetapi aku berharga karena aku mengisi keperluan kehidupan manusia. Aku membawa vitamin-vitamin terpenting. Pikirkanlah labu, jeruk, mangga dan papaya. Aku tidak ada dimana-mana setiap saat, tetapi aku mengisi lazat saat fajar atau saat matahari terbenam. Keindahanku begitu menakjubkan hingga tak seorangpun dari kalian akan terfikir di fikiran orang."


MERAH tidak boleh diam lebih lama dan berteriak:
"Aku adalah Pemimpin kalian. Aku adalah darah - darah kehidupan!
Aku adalah warna bahaya dan keberanian. Aku berani untuk bertempur demi suatu kuasa.
Aku membawa api ke dalam darah. Tanpa aku, bumi akan kosong laksana bulan.Aku adalah warna hasrat dan cinta, mawar merah, poinsentia dan bunga poppy."

UNGU bangkit dan berdiri setinggi-tingginya ia mampu:
Ia memang tinggi dan berbicara dengan keangkuhan. "Aku adalah warna kerajaan dan kekuasaan. Raja, Pemimpin dan para marhain memilih aku sebagai pertanda kuasa dan
kebijaksanaan. Tidak seorangpun menentangku. Mereka mendengarkan dan menuruti kehendakku."

Akhirnya NILA berbicara lebih perlahan dari yang lainnya, namun dengan kekuatan niat yang sama:
"Pikirkanlah tentang aku. Aku warna diam. Kalian jarang memperhatikan adaku, namun tanpaku kalian semua menjadi dangkal. Aku mempersembahkan pemikiran dan refleksi, matahari terbenam dan kedalaman laut. Kalian memerlukan aku untuk keseimbangan dan kontra, untuk doa dan ketenteraman batin."

Jadi, semua warna terus menyombongkan diri, masing-masing yakin akan kehebatan dirinya.
Perdebatan mereka menjadi semakin keras. Tiba-tiba, cahaya halilintar melintas membutakan.
Guruh menggegar.

Hujan mulai turun tanpa kasihan.Warna-warna sama-sama ketakutan, berdekatan satu sama lain mencari ketenangan.

Di tengah suara gemuruh, hujan berbicara:
"WARNA-WARNA , kalian bertengkar satu sama lain, masing-masing ingin mendominasi yang lain. Tidakkah kalian tahu bahawa kalian masing-masing diciptakan untuk tujuan khusus,unik dan berbeza?

Berpegangan tanganlah dan mendekatlah kepadaku!"
Menuruti perintah, warna-warna berpegangan tangan mendekati hujan, yang kemudian berkata:

"Mulai sekarang, setiap kali hujan turun, masing-masing dari kalian akan membusurkan diri sepanjang langit bagai busur warna sebagai mengingatkan bahawa kalian semua dapat hidup bersama dalam kedamaian.

Pelangi adalah pertanda Harapan hari esok."
Jadi, setiap kali HUJAN turun keras membasahi bumi dan saat Pelangi memunculkan diri di angkasa marilah kita MENGINGAT untuk selalu MENGHARGAI satu sama lain.

MASING-MASING KITA MEMPUNYAI SESUATU YANG UNIK, KITA SEMUA DIBERIKAN KELEBIHAN DAN KELEMAHAN UNTUK SALING BERGANTUNG ANTARA SATU SAMA LAIN UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN DI DUNIA DAN SAAT KITA MENYEDARI PEMBERIAN ITU, MEMBERI KEKUATAN VISI KITA, KITA MEMPEROLEH KEMAMPUAN UNTUK MEMBENTUK MASA DEPAN ....

Persahabatan itu bagaikan pelangi:

Merah bagaikan buah epal, terasa manis di dalamnya.
Jingga bagaikan kobaran api yang tak akan pernah padam.Kuning bagaikan mentari yang menyinari hari-hari kita.
Hijau bagaikan tanaman yang tumbuh subur.
Biru bagaikan air jernih.
Ungu bagaikan kuntum bunga yang merekah.
Nila-
lembayung bagaikan mimpi-mimpi yang mengisi kalbu.

MUKJIZAT BISMILLAH

Mukjizat di sebalik BISMILLAH BISMILLAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz ' BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM ' yang bermaksud ' Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. ' KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH :

Ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.

'BISMILLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam. ' (Hadith Qudsi).

Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.

Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.

Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.

Jumlah huruf dalam BISMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 (AL Muddatsir : 30). Ibnu Mas'ud berkata: ' Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari.



Tiap-tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, ' Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya.

Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.

Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.

Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.

Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

petikan dari http://www.asshafiee.blogspot.com