SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Isnin, 5 April 2010

HINDAR DAN JAUHI DIRI DARI MELAKUKAN DOSA DAN MAKSIAT


MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Setiap hamba Allah Subhanahu Wata’ala yang hidup di muka bumi ini tidak terlepas dari melakukan dosa terhadap Allah Subhanahu Wata’ala, sama ada kecil atau besar, senghaja ataupun tidak. Ini kerana sifat semula jadi manusia yang lemah dan mudah tunduk kepada keinginan hawa nafsunya. Tetapi itu bukanlah alasan yang membolehkannya berbuat dosa, kerana orang yang beriman setentunya taat kepada perintah Allah Subhanahu Wata’ala dan sunah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, mereka tidak tunduk kepada dorongan hawa nafsu sebaliknya berusaha menghindarkan dirinya dari melakukan dosa dan maksiat.

Sebagai orang Islam, kita hendaklah takut berbuat dosa. Bukankah azab dan kemurkaan Allah Subhanahu Wata’ala terhadap orang yang melakukan perbuatan dosa itu banyak diceritakan dalam Al-Qur’an dan Al-Hadis secara jelas dan nyata. Tetapi anehnya ada juga di antara kita yang melakukan perbuatan mungkar dan maksiat dengan senghaja bahkan secara terang-terangan.

Oleh itu ketahuilah wahai jemaah sekalian bahawa segala perkara yang melanggar perintah Allah Subhanahu Wata’ala seperti tidak bersembahyang, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat, berjudi, menikam nombor ekor, berzina, minum dan sebagainya, mereka bukan sahaja mendapat dosa bahkan dibenci oleh Allah Subhanahu Wata’ala, hati menjadi gelap, ditutup pintu rezeki, doanya tidak dimakbulkan dan lebih buruk lagi mendapat azab seksa di akhirat kelak sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Maryam ayat 70 – 72, tafsirnya :

“Kemudian, sesungguhnya kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dengan api Neraka itu. Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya yang demikian adalah satu perkara yang mesti berlaku yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim dengan kekufurannya dan maksiatnya tinggal bertalut (duduk berlutut) di dalam Neraka.”

Sesungguhnya perbuatan dosa itu sangat berbahaya dan tidak boleh diambil ringan. Ia umpama racun dalam tubuh badan manusia dan boleh membawa maut jika tidak diubati dengan segera. Maka penawar bagi menyelamatkan diri dari dosa ialah dengan segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang berdosa. Oleh itu kita hendaklah sentiasa beringat dan berhati-hati dalam setiap gerak-geri kita, baik dari segi percakapan mahupun perbuatan, jangan sampai yang kita lakukan itu menjadi dosa yang akan membawa kecelakaan dan mendatangkan azab ke atas diri kita di kemudian hari.

Selain itu, ketahuilah bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan, jika ianya menjadi ikutan orang lain, maka kita juga akan mendapat balasannya. Oleh itu jika perbuatan itu amalan yang baik, maka beruntunglah kita kerana mendapat ganjaran yang berlipat ganda, tetapi jika perbuatan itu merupakan maksiat dan dosa, celakalah akibatnya kerana banyak dosa yang terpaksa kita terima, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :

“Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang menyeru untuk berbuat kebaikan, maka dia akan mendapat ganjaran pahala sepertimana balasan orang-orang yang mengikutnya, sama sekali tidak dikurangkan ganjaran pahala mereka itu barang sedikit pun. Dan barangsiapa yang menyeru untuk berbuat keburukan, maka dia akan mendapat ganjaran dosa sepertimana balasan orang-orang yang mengikutnya, sama sekali tidak dikurangkan balasan dosa mereka itu barang sedikit pun.” Riwayat Al-Imam Ibnu Majah.

Setiap perbuatan dosa pasti ada balasannya, jika seseorang itu telah berbuat dosa dan tidak menerima balasannya di dunia ini, jangan fikir ia akan terlepas dari menerima pembalasan Allah Subhanahu Wata’ala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala itu Maha Mengetahui atas apa yang kita lakukan. Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Maryam ayat 75, tafsirnya :

“Katakanlah wahai Muhammad, sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarkanlah Allah Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka sama ada azab sengsara dunia ataupun azab Kiamat, maka pada saat itu mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.”

Oleh itu, ingatlah bahawa orang yang berbuat dosa tidak akan selamat, kerana sesungguhnya janji Allah itu benar, contohnya orang yang melakukan rasuah, walaupun ia masih mendapat keuntungan dunia, hartanya bertambah, hidupnya mewah, perbuatannya tidak diketahui, terlepas dari tindakan pihak berkuasa dan sebagainya, namun balasan akibat perbuatan dosanya tetap ada. Mungkin saja ia selamat di dunia tetapi ia tidak akan terlepas dari menerima pembalasan azab seksa Neraka di akhirat kelak. Kita juga jangan lupa, bahawa akibat dari perbuatan rasuah yang dilakukannya itu bukan sahaja menimpa dirinya, bahkan juga kepada anak, isteri dan ahli keluarganya, kerana setiap suap dari sumber yang haram seperti rasuah itu, maka api Nerakalah balasannya.

Kita sebagai orang Islam hendaklah memelihara diri dari melakukan dosa, bahkan juga hendaklah berusaha menegur dan mencegah perbuatan dosa itu dari terus berlaku dan berleluasa, tanpa mengira perbuatan itu dilakukan oleh ahli keluarga, sahabat mahupun masyarakat. Kita perlu ingat jika kemungkaran sudah bermaharajalela di sesebuah tempat itu, adalah tidak mustahil Allah Subhanahu Wata’ala akan menurunkan bala azab kepada mereka. Kita ambillah ikhtibar daripada peristiwa yang telah berlaku kepada umat-umat yang terdahulu yang hancur musnah akibat perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan. Sebagai contoh, peristiwa yang berlaku kepada kaum Nabi Lut yang telah mendustakan kerasulan Nabi Lut Alaihissalam serta mengamalkan perbuatan keji lagi terkutuk dengan mengadakan hubungan sejenis sesama lelaki untuk memuskan nafsu syahwat. Lalu Allah Subhanahu Wata’ala menurunkan bala yang membinasakan negeri itu dengan letusan suara yang menggemparkan bumi, lalu negeri itu ditunggangbalikkan yakni tertimbus segala apa yang ada di muka buminya dan dihujani dengan batu dari tanah yang dibakar.

Sebagai orang yang beriman, janganlah kita mudah lalai dan leka dengan kehidupan di dunia ini dan marilah kita sentiasa berdoa dengan memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala dengan sentiasa bertaubat dan beristighfar kepada-Nya. Jauhilah diri dari perkara yang mendatangkan dosa. Ingatlah bahawa kita tidak akan selamanya hidup di dunia ini. Oleh itu siapkan diri kita dengan bekalan yang berupa amal ibadat, bersedialah sebelum ajal tiba, kerana itulah saja yang dapat menyelamatkan kita di Padang Mahsyar nanti.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Maryam ayat 85 – 87, tafsirnya :

“Ingatlah hari kami menghimpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk menghadap Allah Ar-Rahman dengan berpasuk-pasuk (berkumpulan). Dan kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke Neraka Jahanam dalam keadaan dahaga. Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian dengan iman dan amal salih di sisi Allah yang Melimpah rahmat-Nya.”
Pelita Brunei

Tiada ulasan:

Catat Ulasan