SELAMAT DATANG KE LAMAN INI

ASSALAMUALAIKUM....Terima kasih kerana mengunjungi blogger saya ini...sudi kiranya membaca catatan dari minda seorang guru bimbingan dan kaunseling. Semoga apa yang dipaparkan dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan seharian. Apa yang baik datangnya dari ALLAH SWT, manakala yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri..FIKIR...................FIKIRKAN...........DAN FIKIRAKANLAH

DOAKU....

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; dan mudahkanlah bagiku tugasku; dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, dan kurniakanlah aku ilham dari sisi-Mu agar apa yang ku kongsikan di sini terletak dalam redha-Mu; dan peliharalah penulisan ini, serta si penulisnya, juga pembacanya agar kami sentiasa taat pada perintahMu dan tidak gentar dalam menegakkan agama-Mu."

Islamic Widget

Islamic Clock

Selasa, 23 Ogos 2011

Ketahui Personaliti Melalui Jenis Darah


) Jenis Darah A adalah Petani (Farmers)
Mereka berdarah A adalah golongan yang pemalu tetapi mementingkan kesempurnaan dalam senyap. Mereka sangat bertimbang rasa terhadap orang lain dan tidak pandai menipu. Mereka setia dengan kawan dan rakan sekerja. Mereka boleh menjadi perahsia, kuat, tetapi jarang sekali berkongsi perasaan mereka. Mereka ini sukar dipuaskan dan serius dalam hidup.Peribadi Asas:
Berhati hati dalam membuat keputusan, sentiasa memastikan sesuatu jelas melalui kontrak, terlalu mementingkan undang-undang sosial kehidupan.
Kadar Toleransi:
Toleransi tinggi dengan kerja-kerja fizikal dan berulang, tidak mampu menerima perubahan dengan mudah, hilang minat pada satu-satu hobi dengan mudah.

Bagaimana mereka melihat masa hadapan dan masa lampau:

Terlalu mencuba untuk melupakan masa lampau, sikap pesimis terhadap masa hadapan.
Bagaimana mereka menggambarkan perasaan:
Boleh berpura-pura membuat muka tenang walaupun hakikatnya sedang marah, memerlukan masa yang lama untuk pulih jika dilukai, sensitif kepada pandangan orang lain.
Bagaimana mereka bekerja:
Menguruskan satu perkara sahaja dalam satu masa, membezakan antara kerja dan peribadi, sangat bertanggungjawab, terdorong untuk memilih hobi yang membantu mereka menenangkan perasaan.


2) Jenis Darah B adalah Pemburu (Hunters)
Mereka berdarah B adalah golongan yang periang, memiliki semangat dan aura personaliti yang kuat dan tersendiri. Dalam waktu yang sama, mereka tidak menghiraukan apa orang lain fikir tentang mereka dan liar. Mereka boleh menjadi sangat lemah, pemalas dan kurang sabar. Namun, mereka juga sangat bersungguh-sungguh (passionate) dengan apa yang mereka mahukan.
Peribadi Asas:
Pantas membuat keputusan, boleh menjadi sangat fleksibel, tidak kisah pada peraturan, menghormati penemuan sains dan perkara praktikal.
Kadar Toleransi:
Mengekalkan sepenuh minat pada apa yang mereka lakukan, kelihatan tidak sabar, tidak sukakan kerja yang berulang.

Bagaimana mereka melihat masa hadapan dan masa lampau:

Sukar melupakan hubungan terkini tetapi mudah melupakan kenangan masa silam.
Bagaimana mereka menggambarkan perasaan:
Seorang yang ‘expressive’, ‘cool’ dan bersifat objektif, walaupun selalu bergurau tetapi boleh menjadi sangat pemalu, cepat menukar ‘mood’ seperti cuaca, tidak boleh berhenti merungut apabila mereka kecewa.
Bagaimana mereka bekerja:
Kreatif dan memiliki idea baru, tidak boleh membezakan kerja dan hobi,sukar menerima arahan, tidak gentar mencadangkan perubahan yang inovatif dan tidak takutkan kritikan.

3) Jenis Darah AB adalah Ahli Kemanusiaan (Humanists)
Mereka sukar dimengerti, gemar menjauhkan diri, selalu menggunakan logik daripada mengikut gerak hati. Selain itu, AB sangat bagus menguruskan kewangan, walaupun berfungsi sebagai pendamai, kadang kala AB bersikap talam dua muka.
Peribadi Asas:
Sangat praktikal, bagus dalam menganalisa, memberikan kritikan yang membina, sukar membuat keputusan untuk perkara penting.
Kadar Toleransi:
Cuba untuk menjadi rajin, kelihatan kurang sabar.

Bagaimana mereka melihat masa hadapan dan masa lampau:

Sangat sentimental tentang masa silam, lebih risau tentang masalah semasa berbanding perkara lain.
Bagaimana mereka menggambarkan perasaan:
Berjiwa sentimental, selalunya ‘cool’ dan ‘steady’, tetapi boleh berasa sangat kecewa dengan masalah semasa yang tidak diselesaikan, boleh menjadi ‘moody’ sekelip mata.
Bagaimana mereka bekerja:
Boleh menguruskan bidang kerja yang luas, menghargai kerja keras, cepat memahami, tidak terlalu bertanggungjawab, tidak mampu membuat ‘follow up’ sebelum projek kerja diselesaikan.

4) Jenis Darah O Adalah pejuang (Warriors).
Mereka ‘outgoing’, ‘expressive’, dan ‘passionate’. O sangat bermotivasi dan mempunyai ciri pemimpin semulajadi. Dikurniakan rasa kewujudan yang kuat, tidak takut untuk mengambil risiko jika mereka yakin mereka akan menang, seorang ahli sukan semulajadi.
Peribadi Asas:
Memastikan objektif jelas, sangat yakin dengan diri, jujur, optimis dan bertenaga.
Kadar Toleransi:
Kekuatan dan kecekalan bergantung kepada matlamat mereka, mudah mengalah jika kerja dirasakan sia-sia.

Bagaimana mereka melihat masa hadapan dan masa lampau:

Positif tentang masa lampau, oleh itu tidak menyesali masa silam, mencari kestabilan kewangan di masa hadapan.
Bagaimana mereka menggambarkan perasaan:
Selalunya bersikap tenang, sensitif dengan keikhlasan, memberikan pandangan terbuka dengan jujur secara terus.
Bagaimana mereka bekerja:
Keupayaan menumpukan perhatian bergantung pada keadaan, biasanya lebih gemar memimpin, boleh mengabaikan perkara terperinci.

Disebalik Cerita..."MANA MAK...?"


Jam 6.30 petang.
Mak  berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “ Ada  di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian,

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah  basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya.  Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah  menonton tv.  Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh  yang  asyik membaca majalah.


Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh  menjawab, “Entah.”


Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah  mahu.


Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah  bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar  kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang  sekolah.  Mak  resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak  mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"


Semakin anak-anak  Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan  memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan  bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan. 

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak  lakukannya.


Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan  bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus  kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda  faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak  sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."  

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur.  Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira  dan  berlari mendakapnya seperti dulu.


Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan  setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak  masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak  berangkat."

Mak  minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan  balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta.  Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.


Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak  ingat kata-kata ayah , “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun.  Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak p ayah  sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa  menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang  merasa anak-anak   mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.


Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya  Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.


Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak.  Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa  Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah  telepon untuk beritahu mak sakit tenat.


Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?".  Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah  itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini  tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah  hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala  Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah ....bangun." Suara Ateh memanggil ayah . Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"   

Ayah  tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?"  masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. KataRasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah . Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnyaSolat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

13 Cara Mudah Bangun Qiumullai


Menurut Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, terdapat beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam seperti di bawah ini:

1. Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan yang dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.
2. Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah SWT menjemputnya untuk bangun di tengah malam.
3. Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.
4. Memerhati kepada kesungguhan individu-individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamullail khususnya para solihin di kalngan para sahabat dan ulama.
5. Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu boleh bangun di tengah malam seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.
6. Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan oleh Rasulullah; “Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat.” Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra Bin Azib.
7. Bersegera masuk tidur (tidur di awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
8. Berzikir dengan wirid-wirid yang Ma’thur seperti Ma’thurat sebelum tidur, kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan Syaitan dan membantu untuk mudah bangun, atau ayat-ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur, membaca tiga Qul dan sebagainya.
9. Seboleh-bolehnya tidur sebentar di siang hari yang dikenali sebagai ‘Qailulah’, iaitu sebelum masuk waktu Zohor atau selepasnya, ala kadar setengah jam.
10. Elak daripada banyak makan dan minum, kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.
11. Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa jua keadaan.
12. Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal-pasti sebagai penghalang pertama dan utama dari mudah untuk bangun di tengah malam.
13. Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.
Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian!
Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunnah muakkadah yang sangat dianjurkan oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda : “Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia merupakan kebiasaan kepada orang-orang soleh sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan kamu, ia juga penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh.” Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi.


Pengajaran disebalik Permainan


Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, “Saya ada satu permainan… Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah “Kapur!”, jika saya angkat pemadam ini, maka katalah “Pemadam!”

Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, “Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah “Pemadam!”, jika saya angkat pemadam, maka katakanlah “Kapur!”. Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.
Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. “Murid-murid, begitulah kita umat Islam.

Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika.
“Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain.”

“Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?” tanya Guru kepada murid-muridnya. “Faham cikgu…”

“Baik permainan kedua…” begitu Guru melanjutkan.

“Cikgu ada Qur’an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda semua berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur’an yang ada di tengah tanpa memijak karpet?”

Murid-muridnya berfikir. Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat, dan lain-lain.

Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur’an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet.

“Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya. .. Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang. .. Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar.

“Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. ..”

“Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka lakukan… Dan itulah yang mereka inginkan.”

“Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita… ”

“Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?” tanya murid- murid.

“Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi.”

“Begitulah Islam… Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar,akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sadar”.

“Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang…”

Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan fikiran masing-masing di kepalanya…

Ahad, 21 Ogos 2011

7 sunnah penting


Salam,
Ihya Ramadhan Al Mubarakh
Dalam kehidupan sehari-hari ada kala kita mungkin telah melampaui batas. Imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah. Tetapi itulah kita manusia, tak lari dari kesilapan..dan mujurlah Allah selalu membuka pintu taubat kepada kita, agar dapat kita meneruskan perjalanan menuju akhirat dengan lebih berkat. Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:
Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.

Kedua:
Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3Qul, atau ayat qursi.
Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke mesjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
Keempat:
Jaga sholat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.
Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.
Keenam:
Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.
Ketujuh: Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.
Sebarkanlah ilmu ini, dan anda tidak akan rugi sedikitpun, sebarkan, semoga ianya memberi manfaat pada semua

10 malam terakhir kita berpuasa


Alhamdulilah hari ini adalah hari yang ke dua puluh satu kita berpuasa, Bermakna ada sepuluh hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1432 H. Disana sini kedengaran suasana Hariraya Aidil fitri itu sudah mula terasa dan semakin tiba, bunyi dentuman mercun (walau pun diharamkan) dan alunan lagu lagu raya telah mulai berkumandang di radio malah di TV juga telah menyelitkan beberapa babak rancangan rancangan hiburan yang akan ditayangkan pada hari nanti. Pendek kata semua pihak telah bersedia benar untuk menyambut hariraya Aidilfitri pada tahun ini..
Masjid dan surau juga sudah nampak berbeza. Para pengunjung mulai lengang dan saf saf yang dulunya dibelakang telah mula maju kehadapan lantaran tiada jemaah lagi yang bersembahyang tarawih di belakang. Kebanyakan para jemaah sudah mulai mengunjungi pasaraya dan gedung perniagaan bagi membeli keperluan pakaian dan peralatan untuk berhari raya. Kita melihat lori lori kecil berselisih sakan antara satu sama lain menghantar sofa, permaidani, TV, peti ais dan meja makan yang kesemuanya dibeli baru demi menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Inilah penangan Hari Raya Aidilfitri. Cuba bayangkan apabila sepuluh hari sebelum kita menyambut Ramadhan tiba, kita tidak begitu gembira dan riang seperti ini, malah kita kecut dan bersedih menghadapi keadaan tidak makan dan minum pada siang hari, dan terpaksa pula menjaga kesopanan diri demi Ramadhan, tetapi apabila sepuluh hari lagi untuk menyambutnya hari raya, maka keriangan pada wajah kita dan cara menyambutnya adalah luar biasa.
Tidak takutkah kita jika ini adalah Ramadhan terakhir bagi kita?
Inilah kesilapan besar orang kita, yang sangat suka akan perkara yang boleh mengembirakan hati dan mencetus hilai ketawa. Kita lupa bahawa bukan cara sebegini Islam mengajar dan menghayati hari hari terakhir Ramadhan atau menyambut Hariraya Aidil Fitri yang bakal tiba.
Sebuah hadis Rasulullah SAW riwayat Ibnu Umar yang bermaksud
“Sesiapa yang ingin mencari Lailatulqadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh (27)” dan dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Muslim yang bermaksud “ Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam ganjil dari 10 malam akhir Ramadhan”.
Jelas Lailaitulqadar itu hanya berlaku pada satu malam sahaja dari Ramadhan, dia ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-berebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipat gandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadhan al-Mubarak ini. Ianya merupakan ujian bagi kita mengapa Allah menyembunyikan Lailatulqadar itu dari pengetahuan kita.
Bagaimana dengan pencarian malam Lailatul Qadar?
Daripada Aishah R.A telah berkata :
“Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir ramadhan , baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)
Rasulullah SAW kekasih kita yang confirm ahli Syurga pun beribadat sampai begitu, tidak malukah kita?
Hadis dari sahabat Jabir bin Abdillah sesungguhnya Rasulullah bersabda (yang ertinya):“Sesungguhnya Aku melihat Lailatul-Qodar kemudian dilupakannya, Lailatul-Qodar turun pada 10 akhir (bulan Ramadhan) iaitu malam yang terang, tidak dingin dan tidak panas serta tidak turun hujan”.
(HR. Ibnu Khuzaimah no.2190 dan Ibnu Hibban no.3688 dan disahihkan oleh keduanya).
Kemudian hadis dari sahabat ‘Ubadah bin Shomit sesungguhnya Rasulullah bersabda (yang ertinya)
“Sesungguhnya tanda Lailatul-Qadar adalah malam yang cerah dan terang seakan-akan nampak didalamnya bulan bersinar terang, tetap dan tenang, tidak dingin dan tidak panas. Haram bagi bintang-bintang melempar pada malam itu sampai waktu subuh. Sesungguhnya termasuk dari tandanya adalah matahari terbit pada pagi harinya dalam keadaan tegak lurus, tidak tersebar sinarnya seperti bulan pada malam purnama, haram bagi syaitan keluar bersamanya (terbitnya matahari) pada hari itu”.

Isnin, 8 Ogos 2011

KUASA DOA...


Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita hendak kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan. Jadi perlu apa lagi kita berdoa? Imam Ibn Ataillah menjawab persoalan ini dengan berkata, “…hendaknya doa permintaanmu adalah untuk menunjukkan sifat kehambaanmu dan menunaikan kewajipan terhadap kemuliaan Tuhanmu.”
Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Doa adalah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-Nya. Sebagai hamba kita memerlukan Allah lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa.
Dan Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah Ghafir 40: 60)
Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak berdoa, boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah lagi dalam kehidupan ini. Pada hal sebagai hamba Allah dia sebenarnya sangat rapuh untuk menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.


Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdoa kepada-Nya. Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang yang hampir dengan Allah. Para Rasul, nabi dan umumnya salafussoleh pada zaman dahulu ialah orang yang membudayakan doa dalam kehidupan harian, mingguan dan tahunan pada setiap fasa kehidupan mereka. Mereka sentiasa sedar bahawa mereka ialah hamba Allah dan sebagai hamba, mereka mesti selalu berhubung dengan-Nya. Dan doa adalah “medium” perhubungan itu.
Doa adalah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Bermula daripada bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan, minum, memakai kasut, menaiki kenderaan, melihat pemandangan, bersin, menguap hinggalah tidur semula…semuanya ada doanya yang khusus. Malah, untuk melakukan hubungan suami isteri pun, mesti dimulakan dengan doa.
Itulah uniknya Islam berbanding dengan agama-agama yang lain. Ajaran Islam begitu kaya dengan doa. Bukan sahaja untuk melaksanakan perkara yang besar, tetapi untuk melaksanakan perkara yang dipandang remeh sekali pun, Islam mengajar kita untuk berdoa.
Allah mendidik manusia agar selalu dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Bukan itu sahaja, malah Allah mengajar manusia tentang doa yang bagaimana seharusnya diajukan kepada-Nya. Ayat-ayat al-Quran yang berupa doa ialah bukti betapa Allah begitu menitikberatkan agar manusia berdoa kepada-Nya. Tidak syak lagi, berdoa adalah satu ciri orang yang “melalui jalan yang lurus dan diberi nikmat oleh Allah” seperti yang ditegaskan dalam surah al-Fatihah.
Para rasul dan nabi juga mendidik umatnya dengan doa. Nabi Muhammad s.a.w. khususnya, telah mengajar kita untuk berdoa pada setiap masa dan ketika. Tradisi itu diteruskan lagi oleh para sahabat, tabiin, tabi‘ al-tabiin dan generasi salafussoleh. Alhasil, khazanah doa sentiasa bertambah daripada satu zaman ke satu zaman.
Mengapa begitu sekali kepentingan doa kepada manusia? Ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk:
1. Mengekalkan Hubungan dengan Allah Setiap Masa
Manusia memerlukan Allah lebih daripada segala keperluan lain. Tanpa Allah dalam hatinya, manusia umpama ikan yang ketiadaan air. Jiwanya akan mati. Manusia akan hilang ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian walaupun dia memiliki segala-galanya. Tanpa hubungan dengan Allah yang berkekalan, manusia umpama layang-layang putus tali yang akan dihanyutkan oleh gelombang hidup tanpa arah tuju yang pasti.
Doa jua sebenarnya adalah zikir – yakni interaksi dan komunikasi kita kepada Ilahi dengan cara yang paling harmoni. Allah memerintahkan kita agar berdoa untuk mengingati-Nya kerana dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Dan ketenangan itulah hakikatnya sebuah kebahagiaan. Demikian yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Yakni mereka yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (Surah al-Ra‘d 13: 28)
Jelas di sini, orang yang sering berdoa tidak akan dilanda stres yang melampau dan kemurungan dalam hidup. Hal ini kerana talian hayatnya sentiasa bersambung dengan Allah apatah lagi apabila dia memerlukan pertolongan. Terbukti hasil kajian dan pemerhatian sejak zaman berzaman, orang yang kuat beragama jarang sakit jiwa apatah lagi membunuh diri. Apa yang agama telah beri sehingga mereka berani menghadapi hidup ini? Ya, doa!
2. Keupayaan Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan Secara Berterusan
Hidup orang yang berjaya sentiasa lebih baik daripada sebelumnya. Sama ada kebaikan itu berkait dengan Allah mahupun yang berkait dengan manusia. Oleh sebab itu, manusia perlu sentiasa berubah –daripada kurang baik kepada baik. Daripada baik kepada yang lebih baik (cemerlang).
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dia memperkenankan (doa) orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka daripada kurnia-Nya.” (Surah al-Syura 42: 26)
Doa adalah satu kunci menggamit pertolongan Allah untuk melaksanakan perubahan diri yang dimaksudkan. Doa itu harapan. Manakala usaha adalah langkah untuk merealisasikan harapan itu. Dengan berdoa kita mengharapkan sebaik takdir. Dengan berusaha kita melaksanakan sebaik tadbir. Apabila bergabung tadbir dan takdir yang baik, insya-Allah kita akan berubah ke arah yang lebih baik.
3. Didampingi oleh Malaikat dan Menghalau Syaitan
Dalam mengharungi kehidupan ini, sentiasa ada makhluk lain yang mengiringi dan mendampingi kita. Apabila kita makan tanpa berdoa misalnya, syaitan akan menumpang makan bersama kita. Akibatnya, makanan yang kita makan akan hilang keberkatannya. Tenaga yang diperoleh daripada makanan itu akan terarah kepada kejahatan dan menjadi sebab kita terjerumus ke neraka.
Syaitan akan menghasut dengan menimbulkan berapa keraguan, ketakutan, kerakusan dan lain-lain rasa yang negatif dalam hati. Inilah punca kejahatan, kegelisahan dan kegagalan dalam kehidupan seseorang. Syaitan umpama virus pada hati manusia. Jadi, hanya dengan mengingati Allah menerusi doa kita mampu menghalau syaitan yang sentiasa ingin mendampingi kita.
Sebaliknya jika kita berdoa, malaikat akan mendampingi kita dan akan memberi sarana atau input yang baik-baik ke dalam hati kita. Malaikat akan dekat kepada orang yang dekat dengan Allah. Kesannya, manusia yang sentiasa didampingi malaikat akan lebih terkawal kata-kata, pertimbangan, keputusan dan tindakan dalam hidupnya. Oleh sebab itu berdoalah, insya-Allah malaikat akan hampir, syaitan pula akan meminggir!
4. Membentangkan Masalah dengan Jelas dan Tuntas
Doa secara tidak langsung menyebabkan kita membentangkan masalah kita untuk diselesaikan. Apa sebenarnya masalah kita? Inilah langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang masalah. Malangnya, ramai orang yang hanya gelisah tidak tentu arah apabila ditimpa masalah. Sedangkan mereka tidak tahu pun apa masalah mereka yang sebenar.
Doa telah menolong kita menukarkan masalah ke dalam bentuk perkataan. Begitu yang ditegaskan oleh pakar-pakar psikologi. Dengan berdoa, masalah yang asalnya kabur dan samar menjadi jelas dan terang. Doa adalah seperti menulis masalah kita di atas kertas. Bukankah dengan berdoa hakikatnya kita “berkata-kata” dengan Allah.
Jadi, semasa kita bermohon, merayu, mengadu dan meluahkan segala-galanya kepada Allah, kata-kata yang kita gunakan semasa itu seperti membentangkan masalah kita secara tidak langsung. Ini akan memberi kelegaan, malah masalah yang dinyatakan dengan terang itu sudah menjadi separuh selesai!
5. Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Sebarang Kebuntuan
Menurut pakar psikologi, tidak ramai manusia yang begitu kuat sehingga mampu menanggung masalah paling sulit dan perit secara bersendirian. Ada kalanya kita sangat memerlukan insan lain untuk berkongsi rasa dengan kita. Malah dalam keadaan itu adalah lebih baik untuk menceritakan kepada orang lain akan masalah itu.
Namun ada kalanya masalah kita terlalu personal yang kita rasa malu atau enggan untuk diceritakan kepada orang lain. Kadangkala kebimbangan kita terlalu tinggi sehingga tidak dapat berbincang pun dengan saudara-saudara atau sahabat-sahabat terapat. Pada ketika itu kepada siapa kita hendak mengadu?
Ya, sudah pasti kepada Allah. Berdoalah, Allah sentiasa sedia dan setia untuk mendengarnya. Firman Allah yang bermaksud: “Jika hamba-Ku bertanyakan kamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku sentiasa mendengar permohonan doa tatkala berdoa kepada-Ku. Oleh sebab itu, wajarlah mereka sahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku, semoga mereka beroleh petunjuk.” (Surah al-Baqarah 2: 186)
Berdoa memberikan kita rasa “tidak bersendirian” dalam menghadapi sebarang kebuntuan hidup. Malah kita akan berasa keberadaan Allah bersama kita untuk berdepan dengan apa jua masalah. Benarlah kata pujangga Profesor Dr. Hamka, “Ketika pintu di bumi sudah tertutup segalanya, pintu ke langit sentiasa terbuka!” Maksudnya, apabila manusia tidak boleh lagi diharap mendengar pengaduan kita, Allah sentiasa dekat untuk mendengar segala rintihan dan harapan.
6. Mengaktifkan Diri untuk Berusaha
Doa adalah langkah pertama dan utama ke arah suatu tindakan. Dengan berdoa, kita sebenarnya telah mengaktifkan minda dan jiwa kita untuk bertindak. Malah dengan berdoa umpama menyalakan satu jana kuasa dalam diri yang akan menghasilkan tenaga yang sangat kuat untuk meledakkan tindakan.
Terdapat saintis menyatakan bahawa doa juga adalah sejenis tenaga. Iaitu sejenis tenaga yang boleh dihasilkan dari dalam diri seseorang hasil berhubung dengan yang Maha Kuasa. Inilah hikmah mengapa Allah menyuruh kita berdoa. Kita bukan sahaja mendapat kekuatan daripada Allah, malah akan mendapat kekuatan daripada tenaga dalam diri yang telah dikurniakan oleh Allah secara tabii.
Semasa berdoa seorang manusia akan meningkatkan keupayaan tenaga mereka yang terhad dengan menyerahkan diri kepada sumber tenaga yang tidak terhad. Interaksi dan komunikasi kepada sumber tenaga yang Maha Hebat ini akan meledakkan satu kuasa yang sangat kuat. Inilah sumber tenaga dan kuasa yang dimiliki oleh para Rasul apabila berdepan dengan kuasa-kuasa besar yang menghalang kebenaran yang hendak disampaikan kepada umat mereka.
Dengan kuasa Allah impak daripada doa-doa mereka, Namrud, Firaun, Kafir Quraisy yang punya kuasa, harta dan senjata tewas apabila berdepan dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w. Doa adalah antara faktor kejayaan itu. Hakikat inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w menerusi sabdanya yang bermaksud: “Doa itu adalah senjata orang Mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.” (Riwayat al-Hakim no. 1218)
Walaupun doa itu satu senjata, tetapi jarang sekali digunakan untuk memusnahkan musuh. Sebaliknya ketika berdepan dengan kaumnya, seseorang Rasul sentiasa mendoakan agar kaumnya mendapat hidayah dan taufik daripada Allah, bukan doa menghancurkan mereka. Di Taif umpamanya, setelah Nabi Muhammad s.a.w. diusir dan dilukai, Baginda telah berdoa untuk mendapat hasil jangka panjang (yakni taufik dan hidayah kepada zuriat penduduk Taif pada masa akan datang). Baginda menolak tawaran malaikat memberikan hasil yang “instant” iaitu dihempap gunung ke atas penduduk Taif.
7. Menghindar daripada Penyakit Fizikal
Doa bukan sahaja mampu menyihatkan hati tetapi juga menyihatkan fizikal kita. Sains perubatan berjaya memusnahkan penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan virus yang telah membunuh berjuta-juta manusia. Tetapi sains perubatan tidak berjaya melawan kemusnahan minda dan fizikal yang bukan disebabkan oleh virus atau bakteria. Sains tidak mampu menyekat emosi kerisauan, ketakutan, kebencian, kemurungan yang semakin menular dalam kehidupan manusia masa kini dengan pantasnya.
Semua emosi yang negatif itu memberi impak langsung kepada fizikal manusia. Apa kata Wiliam James (pakar perubatan dan psikologi) tentang risau? Beliau berkata, “Tuhan boleh mengampuni segala dosa kita, tetapi sistem urat saraf kita tidak.” Penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, sakit kerongkong malah lumpuh juga boleh disebabkan oleh kerisauan, ketakutan dan penyakit-penyakit hati (mazmumah) yang lain.
Tetapi dengan berdoa kita boleh mengubat hati dan fikiran daripada serangan sifat-sifat mazmumah yang juga menjadi punca kepada penyakit-penyakit fizikal. Plato pernah berkata, “Kesalahan ahli perubatan adalah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Dan kesalahan ini akhirnya diakui oleh pakar perubatan moden dengan mewujudkan satu “ubat” baru yang dikenali sebagai psikosomatik (gangguan fizikal manusia yang timbul akibat masalah psikologi, seperti rasa bimbang, takut dan lain-lain) – ubat yang merawat fikiran dan tubuh badan.
Salah Faham Tentang Doa
Itulah antara sebab mengapa Allah perintahkan kita berdoa. Kebaikan dan manfaat doa bukan untuk Allah tetapi untuk manusia. Jika orang yang sabar, perkasa, mulia, berilmu seperti para rasul dan nabi itu pun sentiasa berdoa, apatah lagi kita yang lemah, jahil dan “biasa-biasa” sahaja berbanding mereka.
Dengan hujah di atas, maka ternafilah anggapan negatif sesetengah pihak tentang doa. Ada pihak yang menganggap doa itu hanya satu pemberitahuan kita kepada Allah tentang apa yang mereka inginkan. Lalu apabila tidak ada apa yang diinginkan, tidak perlulah berdoa. Anggapan ternyata salah kerana doa itu bukan permohonan tetapi juga satu kewajipan. Maka berdoa itu merupakan lambang kehambaan kita kepada yang Maha Esa. Oleh sebab itu, doa perlu dilakukan setiap masa dan ketika kerana kita ialah hamba Allah selama-lamanya.
Selain itu doa juga bukan sesuatu yang pasif. Maka apabila sudah tiada usaha yang boleh dibuat lagi, menyerah dan pasrah sajalah kepada Allah. Anggapan sesetengah orang ini ternyata salah kerana doa itu sesuatu yang pro-aktif. Malah doa itu perlu dibuat sebelum kita melakukan sesuatu kerja, semasa dan selepasnya. Doa penting pada permulaan, pertengahan dan pengakhiran sesuatu tindakan.
Islam tidak mahu umatnya berdoa setelah berasa lemah. Jangan berdoa dan berharap kepada Allah hanya setelah doktor mengakui ketidakupayaannya. Tetapi berdoalah kepada Allah sebelum kita menemui doktor untuk mengubat penyakit itu. Doa sesuatu yang bersifat proaktif, bukan jumud dan pasif. Lihatlah, dengan keberkatan doalah Nabi Musa mampu berdepan dengan Firaun dan ahli sihirnya. Dengan doa juga, Nabi Ibrahim meruntuhkan berhala-berhala sembahan Namrud. Malah Nabi Muhammad berdoa ketika memulakan hijrah. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.” (Surah Ibrahim 14: 39)
Oleh yang demikian tidak mungkin orang yang benar-benar berdoa untuk mendapat hidayah, rasa berat hati untuk menghadiri majlis-majlis tazkirah dan pengajian. Tidak mungkin orang yang memohon untuk mendapat rezeki yang halal, tetapi terus bermalas-malas tanpa melakukan apa-apa pekerjaan. Jadi, jagalah integriti dalam berdoa dengan menyejajarkan antara doa dengan usaha. Misalnya, janganlah setiap hari berdoa minta kesihatan tetapi terus merokok. Jika demikian, apakah kita tidak terasa yang kita sedang “mempermainkan” doa dan kepada siapa yang kita berdoa itu?
Ingatlah bahawa perbezaan antara orang yang berdoa dengan orang yang tidak berdoa umpama orang hidup dengan orang yang mati. Dengan berdoa kita mengaktifkan tenaga dalaman kita yang mampu menghadapi apa jua masalah dan cabaran hidup. Jangan cuba hidup bersendirian kerana hidup ini perlukan teman. Dan sebaik-baik “teman” ialah “Teman daerah tinggi” (al-rafiq al-a‘la) yang disebut berulang kali oleh Rasulullah s.a.w. menjelang wafatnya.
Jadi, berdoalah… nescaya kita tidak akan bersendirian dalam menghadapi apa jua masalah dan kebuntuan. Ada “Teman daerah tinggi” yang setia dan sentiasa mendengarnya!
Renungkan ungkapan berikut: “Doa diperkenankan bukan semasa kita meminta tetapi semasa kita berusaha!”

Sumber: Ust Pahrol Mohd Juoi